Ahli Parlimen gesa polis segera siasat tahanan mati sebelum dibebas

Ahli Parlimen gesa polis segera siasat tahanan mati sebelum dibebas

Ramkarpal Singh berkata penting bagi polis mendedahkan keputusan bedah siasat Kim Shih Keat kerana keluarganya boleh melihat kemungkinan memohon inkues diadakan.

Abang Kim Shih Keat, Shih Hoe (tengah) dan sepupu Michelle (kanan) bersama Ramkarpal Singh dan bekas pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau (dua dari kiri).
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa polis mempercepatkan siasatan kes seorang lelaki yang mati ketika dalam tahanan di Penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

Katanya, penting bagi polis mendedahkan keputusan bedah siasat Kim Shih Keat, 36, kerana keluarganya boleh melihat kemungkinan memohon inkues diadakan.

Sebelum ini, keluarga mangsa menggesa agar inkues terhadap kes itu diadakan selain siasatan bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dibuat.

Ramkarpal berkata, beliau juga akan meminta pengarah pendakwaan Johor meneliti kes itu terutama berkaitan hasil bedah siasat kerana sehingga kini punca kematian Kim masih belum diketahui.

Pada 22 Jun lalu Kim dijatuhi hukuman penjara tujuh hari serta denda RM15,000 dan lesen memandunya digantung selama dua tahun.

Bagaimanapun, keluarganya mendakwa menerima panggilan memaklumkan bahawa Kim meninggal dunia di hospital pada 28 Jun selepas didapati tidak sedarkan diri di Penjara Kluang, iaitu hari dia sepatutnya dibebaskan.

Keluarga Kim turut mendakwa terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan dan tangannya.

Pemangku Ketua Polis Kluang, Abdul Razak Abdullah Sani, sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun pihaknya sedang menunggu keputusan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.