Ahli ekonomi tetap berharap undang-undang pembiayaan politik dilaksana sebelum PRU

Ahli ekonomi tetap berharap undang-undang pembiayaan politik dilaksana sebelum PRU

Edmund Terence Gomez berkata beliau menaruh harapan kerana terdapat banyak usaha yang telah dilakukan selama ini.

Dengan pilihan raya umum dijangka menjelang tahun depan, sebuah kumpulan Parlimen telah menyediakan draf undang-undang mengenai kewangan politik untuk disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi politik yang sebelum ini menyuarakan rasa kesal kerana kurangnya kemahuan untuk menggubal undang-undang mengenai kewangan politik kini berharap ia akan diwujudkan.

Edmund Terence Gomez berkata, beliau menaruh harapan kerana terdapat banyak usaha yang telah dilakukan selama ini.

Beliau berkata, Akta Pembiayaan Politik yang telah dicadangkan oleh Najib Razak merupakan satu set pembaharuan dilakukannya ketika beliau menjadi perdana menteri.

Namun katanya, rang undang-undang (RUU) itu tidak disediakan walaupun badan bukan kerajaan (NGO) telah memberikan maklum balas yang meluas.

Edmund Terence Gomez.

Menurutnya, selepas skandal 1MDB terbongkar dan berlaku pendedahan bahawa sebuah dana asing telah dipindahkan ke akaun bank milik perdana menteri, satu Jawatankuasa Kabinet diketuai Paul Low telah dibentuk bagi menyediakan Akta Pembiayaan Politik.

Katanya, beberapa NGO diketuai oleh kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 juga memberi cadangan perundangan ini dan walaupun draf telah disediakan, RUU tidak dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya membentangkan RUU yang sama selepas mengambil alih kuasa pada 2018 tetapi tidak berbuat demikian sebelum perubahan dalam kerajaan berlaku pada 2020.

Ketika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Mei lalu berkata cadangan itu telah dipersetujui secara prinsip, Gomez tertanya-tanya mengapa ia tidak disediakan untuk dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat semasa, apabila sekurang-kurangnya dua draf RUU telah disediakan.

“Lebih-lebih lagi, kami telah meminta salinan dua draf rang undang-undang itu, supaya dapat membantu memperhalusi perundangan yang akan dibentangkan,” katanya.

Pada Khamis, Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) yang terdiri daripada ahli Parlimen dan masyarakat sivil, berkata ia telah merangka RUU pembiayaan politik untuk disemak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Gomez berkata undang-undang mengenai kewangan politik adalah penting memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bakal menjelang, yang menurutnya, akan menjadi perbalahan.

“Adalah penting untuk menyamakan kedudukan supaya semua pihak dapat mengadakan pilihan raya yang adil kerana jumlah wang dan cara mereka membelanjakannya perlu mematuhi undang-undang sedia ada.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.