
Pengerusi DAP itu berkata, terdapat lebih banyak kemalangan maut yang berpunca atau membabitkan mat rempit berbanding kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk, tetapi pihak berkuasa nampaknya bertindak lebih tegas terhadap kes memandu di bawah pengaruh (DUI) alkohol dan dadah.
“Jelas sekali mat rempit ini adalah ancaman kepada keselamatan awam dan membahayakan nyawa serta kehidupan pemandu tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan.
Lim memetik data polis yang menunjukkan jumlah pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan DUI berkaitan alkohol dan dadah adalah 212 kes pada 2020, 39 (2019), 191 (2018), 212 (2017) dan 461 (2016).
Sebagai perbandingan, beliau berkata, ribuan kematian boleh dikaitkan dengan kemalangan melibatkan mat rempit sejak 2009.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, hukuman bagi kesalahan DUI alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan tanpa kematian dinaikkan kepada RM50,000 atau penjara tujuh hingga 10 tahun atau kedua-duanya.
Manakala mereka yang memandu dalam keadaan mabuk, katanya, berdepan denda antara RM1,000 hingga RM5,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
“Hukuman sama harus dikenakan ke atas mat rempit dan penunggang motosikal lain yang terlibat dalam lumba haram,” kata Lim.
Lim berkata, Wee Ka Siong tidak layak menjadi menteri pengangkutan, jika beliau tidak dapat melihat perbezaan besar antara kemalangan maut yang disebabkan oleh mat rempit berlumba haram di lebuh raya dan kematian akibat pemandu mabuk.
Minggu lalu, lima lelaki maut dalam kemalangan membabitkan mat rempit yang menyertai lumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang. Tiga daripadanya maut di lokasi kemalangan dan dua lagi di hospital.