TH jangka pembelian ‘Great Minster’ RM1.3 bilion di London beri pulangan baik

TH jangka pembelian ‘Great Minster’ RM1.3 bilion di London beri pulangan baik

Semalam, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, bimbang dengan tindakan TH menyembunyikan harga belian sebenar dan hanya memaklumkan nilai hartanah.

Tabung Haji berkata bangunan ‘Great Minster’ menempatkan Kementerian Pengangkutan UK di kota raya London bernilai kira-kira RM1.3 bilion dibeli bawah nilai pasaran. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Haji (TH) yakin pembelian bangunan enam tingkat di London bernilai hampir RM1.3 bilion, yang dimuktamadkan pada 12 Julai, dijangka memberikan pulangan baik sekali gus melindungi kepentingan serta memberi nilai tambah kepada pendepositnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Amrin Awaluddin, berkata pembelian itu yang merupakan pelaburan keenam TH di United Kingdom (UK) dijangka memberikan pulangan stabil membabitkan purata pulangan atas tunai dianggarkan sebanyak 5% setiap tahun.

“TH menerusi anak syarikat juga akan melaksanakan pembiayaan semula bagi mengurangkan modal tunai ke atas hartanah tersebut,” katanya menurut Bernama.

Menurutnya, hartanah itu yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah kota London, berstatus pemilikan kekal dan disewa oleh Kementerian Pengangkutan UK, untuk tempoh lebih 11 tahun.

Justeru, beliau menjelaskan pembelian hartanah itu banyak memberi kelebihan dari segi kontrak sewaan yang panjang tidak boleh batal serta kadar sewaan yang meningkat setiap tahun, sekali gus menjangkakan nilai hartanah itu akan terus meningkat.

“Nilai hartanah itu turut dijangka terus meningkat disebabkan kadar sewa meningkat setiap tahun, lokasi yang strategik serta permintaan yang melebihi bekalan untuk aset berprofil tinggi di bandar raya London yang merupakan pusat kewangan terbesar dan antara destinasi pelaburan hartanah utama di dunia.

“TH juga tidak perlu mengeluarkan modal kos penyelenggaraan bangunan memandangkan segala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa iaitu Kementerian Pengangkutan UK,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, UK juga telah diberi kedudukan tertinggi dalam Global Real Estate Transparency Index, 2022 sebagai negara paling telus dalam hartanah yang menarik ramai pelabur asing seluruh dunia.

Dalam pada itu, Amrin berkata, bangunan pejabat setinggi enam tingkat dan berkeluasan 179,869 meter persegi dikenali sebagai Great Minster, 33 Horseferry Road, Victoria itu, dibeli bawah nilai pasaran berdasarkan penilaian jurunilai profesional bebas.

“Bangunan itu yang menempatkan Kementerian Pengangkutan UK di kota raya London bernilai £247.5 juta (kira-kira RM1.3 bilion) pada 12 Julai lalu dibeli bawah nilai pasaran.

“Hartanah tersebut dibeli bawah nilai pasaran semasa £250 juta berdasarkan penilaian oleh dua jurunilai profesional bebas, CBRE dan Colliers,” katanya.

Amrin menambah, pelaburan itu merupakan penyusunan semula portfolio hartanah TH melibatkan hasil penjualan hartanah sedia ada digunakan untuk pelaburan baharu yang memberikan pulangan lebih baik.

“Pelaburan TH adalah selaras dengan tahap risiko yang ditetapkan dan mengikut lokasi strategi aset bagi mencapai portfolio yang seimbang dan kepelbagaian risiko untuk memperolehi kadar pulangan yang stabil dan mampan,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa, menyatakan kebimbangan dengan tindakan TH menyembunyikan harga belian sebenar (acquisition price) dan hanya memaklumkan nilai hartanah.

“Masalah menyembunyikan harga belian sebenar telah menimbulkan berbagai tanggapan negatif rakyat khususnya umat Islam terhadap ketelusan pihak TH dan kepentingan pihak tertentu yang mengaut yuran komision yang tidak masuk akal tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tindakan melonggokkan pelaburan RM1.32 bilion kepada hanya satu hartanah turut mengundang risiko kepada keutuhan aset TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.