Sarawak gesa Putrajaya mudah cara rundingan lanjut MA63

Sarawak gesa Putrajaya mudah cara rundingan lanjut MA63

Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk melindungi dan memulihkan hak Sarawak yang terhakis supaya MA63 dihormati dan dilaksanakan.

Abang Johari Openg berkata, MA63 adalah perjanjian suci yang tidak boleh diubah atau dihaluskan dalam sebarang cara atau bentuk. (Gambar Bernama)
SIBU:
Premier Sarawak, Abang Johari Openg menggesa kerajaan persekutuan memudah cara rundingan selanjutnya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk kebaikan negara secara keseluruhan.

Berucap pada perasmian sambutan Hari Sarawak ke-59 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Abdul Taib Mahmud di sini malam tadi, beliau berkata, Parlimen baru-baru ini meluluskan pindaaan untuk mengiktiraf keutamaan MA63 kepada hubungan Perlembagaan antara pihak yang membentuk Malaysia dan status pihak berkenaan yang setaraf.

Beliau berkata, cadangan supaya MA63 diubah tidak sepatutnya dibuat sama sekali, apatah lagi beberapa hak dan keistimewaan Sarawak sedia ada, sama ada sudah terhakis atau belum ditunaikan selepas 59 tahun.

“Perkara yang perlu dilakukan kerajaan persekutuan ialah menunaikan sepenuhnya perjanjian bapa pengasas negara ini dalam semangat Keluarga Malaysia dan tidak menangguhkannya,” katanya.

Menurut Abang Johari, MA63 adalah perjanjian suci yang tidak boleh diubah atau dihaluskan dalam sebarang cara atau bentuk.

“Apa yang pemimpin Sarawak telah masukkan dahulu sebagai peruntukan dalam perjanjian sebagai sebahagian dari Malaysia ialah apa yang difikirkan perlu untuk melindungi hak dan kepentingan negeri dan rakyatnya pada zaman mereka, selain dari masa hadapan.

“Sebagai contoh, hak kami sebagaimana termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (Omo 1958) yang nyata wujud sebelum 1963, tidak pernah dimansuhkan dan akan terus dikuatkuasakan dan memberikan kuasa kepada kami ke atas sumber petroleum kami di darat.”

Beliau berkata, oleh kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan negeri sekarang, menjadi tanggungjawabnya untuk melindungi dan memulihkan hak Sarawak yang terhakis supaya MA63 dihormati dan dilaksanakan sebagaimana dipersetujui pemimpin sebelum ini.

Abang Johari berkata, kerajaan GPS sudah merumuskan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang tidak berasaskan keseluruhannya daripada input kerajaan sahaja, tetapi juga melibatkan sektor swasta dan korporat menerusi penyertaan mereka dalam Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (Seac).

Menurut beliau, era Pasca Covid-19 menyaksikan dunia bergerak ke arah ekonomi yang dipacu peralihan kepada sumber tenaga baharu, sejajar komitmen sejagat ke arah kelestarian untuk membina ekonomi hijau dan menangani isu perubahan iklim global.

“Sejajar komitmen universal ini, PCDS 2030 dirumus untuk meliputi ekonomi berasaskan tenaga hijau, terutamanya hidrogen. Sarawak sejak awal lagi memulakan penerokaan potensi gas hidrogen sebagai sumber tenaga bebas emisi dengan menyasarkan pembinaan ekonomi berasaskan hidrogen.”

Dengan sumber yang banyak seperti air dan kuasa hidro, beliau berkata, Sarawak mempunyai potensi besar menjadi hab ekonomi hidrogen di rantau ini dan pelabur dari negara seperti Korea Selatan dan Jepun sudah mengesahkan pelaburan mereka di Bintulu untuk menghasilkan hidrogen dan ammonia.

Mengenai sambutan Hari Sarawak, beliau berkata, ia adalah titik penyatuan kepada rakyat Sarawak untuk memburu impian menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Saya maklum mengenai kontroversi berkenaan penterjemahan dan maksud Hari Sarawak. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah semangat seluruh warga Sarawak untuk memakmurkan Sarawak menurut tema sambutan “Sarawak Makmur” dalam sebarang kapasiti dan peranan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.