
Mereka berkata, ia hanya boleh dielakkan jika parti itu tidak menutup pintu untuk membentuk sebarang pakatan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, masih terlalu awal untuk Pejuang menutup pintu terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu belum cukup mantap, lebih-lebih lagi selepas kekalahan teruk dalam PRN Johor.
“Parti itu tiada bajet, keahlian atau jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU15 bersendirian. Mereka tiada harapan,” katanya sambil menambah parti itu mampu menang di Kedah, sekiranya ia menumpukan usaha di negeri itu.
“Jika Dr Mahathir Mohamad tidak bekerjasama dengan PH, beliau wajar membentuk pakatan dengan parti lain seperti Muda atau Warisan pada PRU15,” katanya.
Khamis lalu, Mahathir yang juga pengerusi Pejuang dilaporkan berkata, parti itu menutup pintu perbincangan dengan PH dan PN mengenai pendekatan “khemah besar” bagi PRU15.
Katanya, ini disebabkan pandangan berbeza dalam kalangan pelbagai parti, selain tiada sokongan umum yang jelas bagi parti terbabit.
James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, tiada siapa memandang serius Pejuang selepas prestasi teruk di Johor dan parti itu akan menunjukkan prestasi sama pada PRU15.
“Tidak kiralah apa yang Pejuang katakan mengenai pendekatan khemah besar, mereka pasti hancur sepenuhnya dalam PRU15,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menyifatkan pelik apabila Mahathir asyik mengulangi bahawa berganding bahu dengan PH akan mengasingkan pengundi Melayu disebabkan DAP.
“Pejuang adalah parti kecil. Strategi mereka sepatutnya untuk membentuk lebih banyak pakatan, sebaliknya beliau hanya menunjukkan dirinya nasionalis ultra-Melayu,” katanya.
Oh percaya kolaborasi antara PH dan PN bukan sesuatu yang mustahil, dan pengerusi Pejuang sekadar “berlakon” dengan “menutup pintu” terhadap dua gabungan itu.
Tetapi, katanya, jika dua gabungan itu bersetuju menjadikan Mahathir ketua, Ahli Parlimen Langkawi itu akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mereka.