
Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) dan Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA) memohon agar Kabinet mengkaji semula larangan terbabit.
Presiden MRECA Adzwan Ab Manas, berkata industri vape di negara ini rata-ratanya terdiri daripada usahawan Bumiputera dan dasar itu akan memberikan kesan dalam jangka masa panjang.
“Nasib industri yang bernilai RM2.27 bilion serta 15,000 pekerja dan 3,000 perniagaan vape di Malaysia akan terjejas sekiranya kerajaan tidak memberikan pertimbangan sewajarnya.
“Selama ini, Malaysia dianggap sebagai satu daripada pengeluar vape yang utama di dunia. Ia juga mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelabur domestik dan asing. Polisi ini akan membantutkan potensi Malaysia sebagai pengeluar produk vape di dunia,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Mevta Mohamad Neezam Talib pula berkata, rokok dan vape adalah dua barang berbeza dan tidak sepatutnya disamakan dalam satu kategori sama dalam larangan itu.
“Sebaliknya, produk vape adalah alternatif yang kurang risiko kepada perokok dan mampu membantu perokok tegar berhenti merokok. Kerajaan seharusnya melihat vape sebagai satu kaedah untuk mengurangkan jumlah perokok negara.
“Ini kerana, ia terbukti berkesan di negara lain. Polisi ini memberikan mesej yang salah kerana ia menyamakan rokok dan vape sebagai produk yang mempunyai risiko yang sama,” katanya.
Kedua-dua persatuan itu juga berpendapat, kerajaan seharusnya mewujudkan peraturan kawal selia bagi mengawal industri vape yang setelah sekian lama tertangguh dan mengambil pendekatan untuk mengawal industri itu dengan peraturan berbeza dengan rokok.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu, Kabinet telah meluluskan cadangan Kementerian Kesihatan berkenaan larangan tersebut dan ini akan menyebabkan industri vape tempatan diharamkan pada masa akan datang.