Bersatu tak terjejas jika Edmund Santhara keluar parti, kata Hamzah

Bersatu tak terjejas jika Edmund Santhara keluar parti, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu berkata masa depan parti tidak ditentukan oleh mana-mana Ahli Parlimen.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata perjuangan dibawa ahli parti lebih penting dalam menentukan hala tuju berbanding Ahli Parlimen yang kadang-kadang mempunyai sikap untuk kepentingan individu saja.(Gambar file)
PETALING JAYA:
Bersatu tidak terjejas dengan tindakan Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar, yang dilaporkan keluar parti, kata setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin.

Katanya, masa depan parti berkenaan tidak ditentukan oleh mana-mana Ahli Parlimen.

Beliau berkata, perjuangan dibawa oleh ahli parti lebih penting untuk menentukan hala tuju parti.

“Ahli Parlimen kadang-kadang dia hanya mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja, manakala ahli-ahli yang menentukan perjuangan parti, ideologi parti. Segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama bangsa dan negara.

“Tak menjadi sesuatu yang boleh menyebabkan parti itu lemah semata-mata atas sikap seorang individu yang mungkin hanya memperjuang untuk dirinya,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa timbalan menteri pelancongan, kesenian dan budaya yang juga ketua sayap bukan Bumiputera Bersatu itu keluar parti.

Semalam, FMT melaporkan Santhara keluar parti selepas melihat tiada masa depan untuk Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam Bersatu.

Sumber berkata, beliau sudah menghantar surat keluar parti minggu lalu kepada Hamzah, termasuk presiden, Muhyiddin Yassin.

“Jadi Bersatu cuba nak pujuk dia sekarang untuk ubah keputusan tu, tapi dia cakap dia akan teruskan,” kata sumber kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.