
Dalam surat kepada semua persatuan berkaitan, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Norazman Ayob berkata, keputusan asal 80:20 adalah syarat dalam lesen kilang yang dikeluarkan mulai 2016, dengan tarikh akhir pelaksanaan pada Disember ini.
“Kini pengilang menghadapi masalah serius mendapatkan orang tempatan walaupun beberapa usaha dilakukan oleh syarikat, ia menjejaskan operasi dan daya saing mereka.
“Oleh itu, Miti sekarang menetapkan Disember 2024 untuk syarikat pembuatan mematuhi peraturan pekerjaan 80:20,” katanya dalam surat yang dilihat FMT.
Norazman berkata, kerajaan ingin mengingatkan pengilang untuk meningkatkan usaha mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia dalam tenaga kerja mereka dan pada masa sama mengambil lebih banyak inisiatif untuk mengautomasikan proses mereka.
Minggu lalu, FMT melaporkan Miti akan menangguhkan peraturan itu selama dua tahun selepas syarikat pembuatan mengadu permohonan mengambil pekerja asing baru-baru ini ditangguhkan akibat syarat 80:20.
Susulan itu, 56 persatuan perniagaan menemui Norazman untuk membincangkan masalah yang dihadapi industri Malaysia dalam pengambilan pekerja asing.
Sesetengah syarikat berkata, ia hampir mustahil untuk menarik pekerja tempatan bekerja di syarikat pembuatan, apatah lagi mengekalkan mereka, khasnya di kilang tanpa penghawa dingin.