Loji ‘hidro kecil’ lebih baik daripada empangan, kata aktivis tenaga hijau

Loji ‘hidro kecil’ lebih baik daripada empangan, kata aktivis tenaga hijau

Tidak seperti empangan, teknologi aliran sungai, dikenali RoR tidak memerlukan kawasan hutan yang besar ditenggelamkan bagi menjana kuasa hidroelektrik.

Projek ‘hidro kecil’ mampu meningkatkan perlindungan dan pemuliharaan hutan negara, kata aktivis tenaga boleh baharu Adrian Lasimbang.
PETALING JAYA:
Projek aliran sungai (RoR) “hidro kecil” perlu diutamakan berbanding empangan dalam meningkatkan kebergantungan negara pada kuasa hidroelektrik kerana ia kurang memudaratkan alam sekitar, kata seorang aktivis tenaga boleh baharu.

Adrian Lasimbang berkata teknologi RoR bermakna tiada keperluan untuk menenggelamkan kawasan besar hutan dan tanah ladang untuk menjana kuasa hidroelektrik, sambil menambah bahawa ia telah menyebabkan masyarakat Orang Asli kehilangan tempat tinggal suatu ketika dahulu.

Penyokong tenaga boleh baharu itu berkata projek “hidro kecil” itu juga memberi insentif kepada perlindungan dan pemuliharaan hutan di negara ini kerana ia memerlukan kawasan tadahan air untuk beroperasi.

“Tadahan air adalah tangki air semula jadi kita dan ia menjadikan kita lebih selamat daripada ancaman pemanasan global. Malah, ia adalah kaedah penyerapan karbon yang paling berkesan.

“Maka, lebih banyak RoR, lebih banyak tadahan air yang dilindungi – usaha berganda dalam memerangi iklim kerana ini bermakna (proses itu) menggalakkan tenaga hijau dan mewujudkan sinki karbon.

“Dan, tambahan pula, ia mengurangkan impak sosial daripada konflik hak tanah, perpindahan komuniti Orang Asli yang bergantung kepada hutan dan kehilangan biodiversiti,” katanya kepada FMT.

Isu mengenai sistem RoR dalam konteks tenaga boleh baharu banyak dibincangkan sejak akhir-akhir ini berikutan ia akan menghasilkan jejak karbon yang jauh lebih kecil berbanding dengan empangan hidro besar.

Mereka memerlukan sedikit atau tiada simpanan air, dengan loji “hidro kecil” hanya bergantung kepada aliran air sungai untuk memutarkan turbin mereka dan menjana elektrik.

Lasimbang berkata sistem RoR lebih menjimatkan kos berbanding empangan selain ia lebih mudah digunakan. Katanya, teknologi ini boleh dibuat di kawasan yang dilindungi, di mana empangan mega diharamkan.

S Piarapakaran, presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), berkata teknologi RoR akan memberi manfaat terutamanya kepada masyarakat luar bandar, sambil menyatakan bahawa ia telah dilaksanakan di beberapa kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik dan hutan yang lebih padat.

Piarapakaran berkata teknologi “hidro kecil” itu adalah bagus kerana ia akan mempelbagaikan sumber tenaga boleh baharu negara. Katanya, ia penting kerana semua bentuk tenaga boleh baharu mempunyai kelemahannya, bermula daripada panel solar kepada turbin angin.

Beliau berkata risiko segera kepada projek RoR itu adalah hujan lebat dan aliran air rendah di sungai.

Hujan lebat secara tiba-tiba akan menyaksikan serpihan-serpihan timbul di sungai, yang berpotensi mengganggu loji, manakala aliran rendah menyebabkan tidak banyak tenaga elektrik akan dijana.

“Setiap teknologi datang dengan risiko, jadi sangat penting untuk kita mengetahui kebaikan dan keburukan sebelum menggunakan teknologi baharu supaya kita boleh bersedia apabila teknologi itu mula (digunakan),” katanya, sambil menyatakan bahawa empangan hidro memerlukan penebangan kawasan hutan yang luas.

Tambahnya, terdapat beberapa lokasi yang sesuai untuk model RoR di Malaysia Barat, dengan aliran air sungai yang tinggi terdapat di Perak, Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.