Aktivis, penganalisis bantah undian mandatori

Aktivis, penganalisis bantah undian mandatori

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, tidak adil buat pengundi Malaysia Timur yang berada di luar kawasan kerana perlu mengeluarkan banyak wang untuk pulang mengundi.

Aktivis dan penganalisis berkata, menghukum individu yang tidak mengundi bukan penyelesaiannya.
PETALING JAYA:
Aktivis dan penganalisis membantah cadangan pengundian mandatori atas alasan pengundi mempunyai hak untuk tidak mengundi.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann dan pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri berkata, tidak patut menghukum rakyat kerana tidak menggunakan hak mereka untuk mengundi.

“Bersih tidak bersetuju dengan sebarang cadangan untuk mewajibkan pengundian kerana kami percaya ia melanggar hak rakyat untuk memilih menyertai (proses pilihan raya) atau tidak,” kata Fann kepada FMT.

Beliau berkata, melaksanakan penalti terhadap mereka yang tidak mengundi akan menjadi “tugas pentadbiran yang besar”.

Katanya, ia juga tidak adil buat pengundi Malaysia Timur yang berada di luar kawasan kerana perlu mengeluarkan banyak wang untuk pulang mengundi.

Qyira berkata, parti politik perlu memahami kenapa sesetengah pengundi memilih untuk tidak mengundi dan menghukum mereka bukan penyelesaiannya.

“Jika mereka dihukum, mereka akan menganggap mengundi sebagai kewajipan untuk mengelakkan daripada mendapat masalah, bukannya peluang untuk memilih wakil rakyat mereka.”

Mereka mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, pengundian mandatori tidak dapat dilaksanakan disebabkan cabaran yang dihadapi pengundi di luar bandar, termasuk infrastruktur dan kemudahan mengundi di kawasan terbabit.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian berkata, pengundian mandatori terlalu tidak praktikal sehingga kemudahan dan infrastruktur di seluruh negara diperbaiki.

“Malah, negara paling maju menghadapi kesukaran mewajibkan pengundian,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu kepada FMT.

Beliau mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya meneroka e-undi bagi membantu pengundi di luar kawasan melaksanakan hak mereka, tetapi ia perlu mempunyai infrastruktur lebih baik.

Saintis politik, Wong Chin Huat juga tidak bersetuju dengan pengundian mandatori, sebaliknya tumpuan perlu diberikan untuk menjadikan proses itu lebih mudah dan murah untuk pengundi.

“Rakyat yang tinggal di luar kawasan atau negeri mereka sepatutnya dibenarkan mengundi dari jauh, bukannya perlu pulang ke kampung.”

Katanya, kira-kira 500,000 orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di negeri lain “dihukum” dengan kos perjalanan mahal untuk membuang undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.