
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, BNM tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bank-bank tempatan untuk melewatkan mahupun menolak permohonan akaun bank oleh persatuan baharu.
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Teresa Kok (PH-Seputeh), beliau menasihatkan mana-mana pihak yang menghadapi masalah berhubung pembukaan akaun bank untuk merujuk perkara ini kepada unit aduan bank berkaitan bagi mendapat penjelasan dan pertimbangan lanjut.
“Jika masih menghadapi masalah membuka akaun, mereka boleh mengemukakan aduan kepada BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau melalui borang Web: bnm.my/LINK,” katanya.
Kok bertanya sama ada BNM ada mengeluarkan arahan berhubung perkara itu kerana beliau menerima banyak aduan daripada persatuan baharu bahawa permohonan mereka untuk membuka akaun sama ada ditolak atau ditangguhkan untuk tempoh yang lama.
Zafrul berkata, proses meluluskan pembukaan akaun simpanan dan akaun semasa lazimnya melibatkan proses usaha wajar pelanggan bagi memastikan akaun tersebut tidak digunakan untuk tujuan pengubahan wang haram.
“Institusi kewangan dikehendaki untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan menggunakan dokumen dan sumber yang sah.
“Prosedur ini selari dengan ketetapan yang dibuat oleh badan penetap piawaian antarabangsa, Financial Action Task Force (FATF) yang diguna pakai di peringkat antarabangsa.
“Pembuka akaun dinasihatkan untuk menyediakan segala dokumen dan maklumat yang diminta oleh institusi kewangan bagi memudahkan proses pembukaan akaun,” katanya.
Dalam kenyataan sebelum ini, Kok berkata, kelewatan dan keengganan oleh bank adalah disebabkan oleh pemeriksaan latar belakang yang dilanjutkan.
Beliau berkata, permohonan itu boleh ditangguhkan untuk tempoh yang tidak ditentukan jika terdapat individu dalam jawatankuasa persatuan berdaftar itu yang terdedah kepada politik.
“Seorang pengurus bank berkata, mereka takut persatuan-persatuan ini akan menggunakan akaun bank mereka untuk menjalankan pengubahan wang haram dan berdepan tindakan BNM, seperti yang berlaku dalam kes 1MDB,” katanya.
Tambahnya, bank tidak sepatutnya menilai terlalu awal pihak yang ingin membuka akaun dan mengambil alih peranan polis dan agensi anti-rasuah.