‘Saya pun tak tahu surat Tommy dihantar kepada peguam wakili Sulu,’ kata Shafie

‘Saya pun tak tahu surat Tommy dihantar kepada peguam wakili Sulu,’ kata Shafie

Katanya, beliau bukan sebahagian daripada Kabinet kerajaan persekutuan pada ketika itu dan tidak pernah dimaklumkan langsung berhubung surat terbabit.

Shafie Apdal (tengah) pada sidang media di ibu pejabat Warisan, di Kolombong, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, beliau sendiri juga tidak tahu berkaitan surat bekas peguam negara Tommy Thomas yang didakwa ditulis dan dihantar kepada peguam mewakili Sulu, pada 2019.

Katanya, beliau bukan sebahagian daripada Kabinet kerajaan persekutuan pada ketika itu, dan tidak pernah dimaklumkan langsung berhubung surat terbabit.

“Saya juga tidak tahu pun, kalau dia (Kabinet) tidak tahu, lagi lah saya tidak tahu, mana kita tahu kalau dia (Tommy) keluarkan (surat), kita tidak tahu surat ini berlaku.

“Jangan tanya saya, tanyalah dia (Tommy), saya mana ada kuasa untuk memberi arahan kepada AG (peguam negara), kalaulah perdana menteri pun didakwa tidak tahu apa lagi ketua menteri, tanya Tommy Thomas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan.

Sementara itu, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, berkata isu tuntutan Sulu harus segera ‘dihapuskan’ kerana perkara berkenaan sebenarnya tidak wujud.

“Sepatutnya, seperti mana dikatakan daripada awal, bila sudah ada referendum, bila sudah ada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kedaulatan negara ini harus dipertahankan, suara rakyat sudah ada, kerana kita sudah pun merdeka dan maknanya tiada lagi hak-hak orang lain menuntut wilayah Sabah ini.

“Sepatutnya dari segi undang-undang, tuntutan bermula selepas perjanjian 1875, antara Sepanyol dan kerajaan yang ada pada waktu itu.

“Kalau kita nak bercakap mengenai sejarah, Sabah ini dahulu dimiliki Sultan Brunei, lepas itu, bila British takluki North Borneo (Sabah), tidak timbul persoalan tentang perkara ini (bayaran kepada Sulu), tiada bayaran langsung pun, waktu itu British sudah memerintah, mentadbir wilayah Sabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, berkata Ketua Menteri Hajiji Noor perlu mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya beliau sendiri tidak bersetuju dengan tuntutan Sulu berkenaan.

“Mungkin, tiba masanya anda bertanya dengan ketua menteri, apa pandangan beliau dengan surat itu, dan kalau beliau tidak setuju dengannya, apa kata panggil sidang khas di DUN, untuk mendapat sebulat suara daripada setiap ADUN, membantah apa saja tuntutan terhadap Sabah,” katanya.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak, semalam, mendakwa surat yang ditulis Tommy itu menjadi punca aset Malaysia bernilai RM66 bilion di luar negara terancam.

“Notis saman timbang tara wakil Sulu dikemukakan secara rasmi kepada Malaysia pada Jul 2019 ketika kerajaan PH (Pakatan Harapan) bermaharajalela.

“Kekesalan Tommy Thomas berhubung tindakan kerajaan tidak membayar tuntutan Sulu berulang kali disebut dalam 297 perkara dalam penghakiman timbang tara berkenaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam hantarannya itu, Najib turut memuat naik video sidang media Ahli Parlimen daripada Warisan iaitu Azis Jamman dan Isnaraissah Munirah Majilis yang mempersoalkan sama ada surat dikeluarkan Tommy itu mendapat mandat daripada kabinet PH pada ketika itu atau tidak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.