
Polis turut menahan dua suspek dan menyita sebuah motosikal bernilai RM2,800 dalam serbuan di Taman Impian, Bukit Mertajam, pada 16 Julai lepas.
Menurut Ketua Polis Perlis Surina Saad, kesemua ganja yang dirampas tersebut boleh digunakan oleh 600,000 penagih dadah.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menyeludup masuk ganja melalui jalan laut di dalam kawasan Thailand seterusnya menggunakan pengangkut melalui jalan darat dengan van di Padang Besar, Perlis.
“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis bertindak mengekorinya sehingga menuju ke Pulau Pinang, kemudian JSJN Perlis dengan kerjasama JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Impian pada 9 malam.
Pemeriksaan ke atas rumah itu menemukan 300kg ganja bernilai RM750,000 yang disembunyikan di dalam kediaman tersebut.
“Polis turut menahan seorang lelaki berusia 41 tahun dan wanita warga Indonesia berusia 37 tahun yang berada di rumah itu ketika serbuan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) hari ini, lapor Bernama.
Surina berkata, berdasarkan siasatan awal, rumah itu dijadikan tempat transit ganja yang diseludup sebelum kesemua dadah tersebut dihantar kepada rangkaian sindiket di Lembah Klang untuk pasaran di sana.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan sindiket pengedaran dadah itu yang dipercayai mempunyai rangkaian di Thailand.
“Polis percaya dua suspek yang ditahan itu ialah ahli sindiket berperanan menjaga ganja di rumah yang disewa sindiket tersebut.
“Semakan kami mendapati pasangan itu tiada surat nikah dan wanita tersebut juga tiada sebarang dokumen perjalanan diri. Kedua-dua mereka yang tiada rekod jenayah dan negatif ujian air kencing direman hingga 23 Julai ini,” katanya
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sejak Januari hingga Jun lepas, polis Perlis merampas sebanyak 364kg ganja yang cuba diseludup masuk melalui sempadan Perlis melibatkan 16 tangkapan,” katanya.