Pelaburan IWK dalam teknologi demi bekalan air bersih berterusan

Pelaburan IWK dalam teknologi demi bekalan air bersih berterusan

IWK kini menjadi peneraju bagi membekal air pulih guna, sesuai untuk kegunaan proses pembuatan bagi industri bukan berasaskan makanan, kata ketua eksekutifnya.

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mahu mempelbagaikan pelaburannya termasuk dalam sektor bukan teras termasuk potensi pengembangan dalam gentian optik menerusi saluran paip pembetungan.
PETALING JAYA:
Demi menjamin bekalan air bersih kepada jutaan isi rumah setiap hari bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi kepada syarikat perkhidmatan pembetungan terbesar negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Sejak penubuhannya, pada 1994, IWK beroperasi dan mengawal selia lebih 7,000 loji rawatan kumbahan (LRK) dan lebih 20,000km saluran pembetungan.

Ia termasuk, loji rawatan bawah tanah terbesar di rantau ini – Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (P2RSTP).

Loji tercanggih ini berkemampuan memberi perkhidmatan kepada 1.4 juta penduduk dalam kawasan tadahan Pantai, membabitkan lebih 6,700ha.

“Sekurang-kurangnya 50% peralatan kami sudah berusia lebih 10 tahun, dan ia perlu diperbaharui atau diganti dari masa ke masa,” kata Ketua Eksekutif IWK Narendran Maniam kepada FMT, sambil menyatakan banyak sumbernya sudah disalurkan kepada aset syarikat demi memastikan fungsi sentiasa berjalan sepanjang masa.

Bagaimanapun, walaupun sebagai penyedia khidmat kepada jutaan isi rumah di negara ini, ramai pelanggan tidak menyedari kepentingan IWK dalam kehidupan seharian, katanya.

“Pelanggan selalu berkata mereka tidak dapat melihat perkhidmatan disediakan oleh IWK,” kata Narendran. “Hakikat anda boleh pam tandas dan air kumbahan disalurkan menerusi sistem LKR kami dan dirawat sebelum dilepaskan dalam kawasan persekitaran menunjukkan perkhidmatan sedang diberikan.”

Katanya, tanpa pengurusan sistem rawatan betul, persekitaran boleh tercemar susulan air kumbahan masuk ke tangki septik yang mengalir masuk ke sumber air atau ke permukaan.

Narendran berkata, kos IWK meningkat saban tahun dan menjadi sebab pihaknya sedang melihat mempelbagaikan pendapatannya.

Ketika ini, hasil utama pendapatan IWK datang melalui bayaran khidmat pembetungan yang dipungut daripada pelanggan, selain menerima dana daripada kerajaan.

Untuk menjadi lebih mampan dari segi kewangan, IWK sedang mencari inisiatif lain melalui penerokaan perniagaan bukan teras bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan ekonomi kitaran.

IWK juga sudah merangka pelan perniagaan lima tahun bagi tujuan pengembangan termasuk aktiviti bukan teras seperti pemasangan menara telekomunikasi dan papan iklan di tapak loji IWK, pembangunan dalam bidang solar dan potensi pengembangan dalam gentian optik menerusi saluran paip pembetungan.

Narendran berkata, IWK sedang memulakan inisiatif air pulih guna yang menyaksikan air kumbahan dirawat sebelum digunakan bagi tujuan bukan untuk diminum. Ini secara cekap akan meluaskan pengembangan sumber air bukan minuman dan mengurangkan penggunaan air bersih

Katanya, IWK juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam projek berskala kecil untuk menggunakan semula efluen terawat bagi menyiram tanaman landskap, sejak 2015.

“Kerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan pengendali air, IWK kini menjadi peneraju bagi membekal air pulih guna menerusi proses guna semula, sesuai untuk kegunaan proses pembuatan bagi industri bukan berasaskan makanan,” katanya.

Selain itu, syarikat sudah memulakan kerjasama untuk guna semula biopepejal sebagai makanan kepada larva lalat askar hitam bagi pengeluaran lemak dan palet protein untuk tujuan eksport.

Usaha ini sejajar dengan sasaran ekonomi kitaran negara dan promosi ke arah inisiatif hijau dalam memacu pertumbuhan mampan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.