
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata, panel itu juga akan membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan pascanilai (post mortem) yang disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang semalam telah menerima laporan post mortem gangguan bekalan air daripada PBAPP, yang berlaku dari 6 hingga 11 Julai lepas. Kami juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah panel penyemak bebas untuk melaksanakan beberapa tugas penting.
“Selain itu, setelah perbincangan lanjut, kerajaan negeri juga telah mengarahkan pihak PBAPP untuk menambah baik laporan tersebut dengan perincian yang lebih mendalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, panel penyemak bebas itu juga berperanan untuk mengenal pasti kelemahan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah gangguan bekalan air tersebut.
Selain itu, katanya, panel tersebut juga berperanan mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa akan datang.
“Barisan panel itu juga akan mencadangkan langkah jangka pendek, sederhana pendek dan jangka panjang bagi penyelesaian krisis air, (serta) langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang,” katanya.
Menurut Zairil, keahlian panel penyemak bebas itu akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat. Mereka akan diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan, tambahnya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri menggesa PBAPP untuk menjalankan pascanilai segera berhubung kejadian gangguan bekalan air selama enam hari di negeri itu supaya kejadian sama tidak berulang.
Masalah gangguan bekalan air itu berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua disebabkan kekeruhan air mentah yang luar biasa tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling.
Keadaan itu mengakibatkan 80% atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri terputus bekalan air.