
FMT menerbitkan artikel pada 17 Mei lepas menceritakan nasib Grace, suami dan anak lelakinya berusia enam tahun yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dalam kereta usang mereka selama 10 hari, dikelilingi beg plastik dan kotak berisi barangan peribadi.
Wanita berusia 37 tahun itu menzahirkan penghargaannya kepada FMT kerana mengetengahkan nasib keluarganya dan berkata, wang yang berjaya dikumpul membolehkan mereka menyewa rumah di Sri Cempaka, Puchong, selain melunaskan hutang.
“Kini kami dapat tidur lena kerana ada tempat berteduh yang selamat,” katanya kepada FMT.
Katanya, mereka dapat melangsaikan hutang sewa rumah lama, serta membayar deposit dan sewa bulan pertama untuk kediaman baharu.
Malah, katanya, penderma yang murah hati turut membantu membelikan perabot dan keperluan asas.
“Saya tidak sangka begitu ramai sanggup menghulurkan bantuan. Memang saya terharu dengan sokongan diberikan,” katanya.
Dengan lebihan wang yang didermakan, katanya, beliau juga dapat menjaga ibunya yang sakit dan menghantar anaknya ke sekolah.
“Saya juga mampu mengecap impian memulakan perniagaan nasi lemak,” katanya sambil menambah, beliau merancang menyimpan sebahagian wang berkenaan untuk masa depan anaknya.
Grace berkata, beberapa ahli Parlimen dan NGO melawatnya di rumah pangsa yang didiaminya sementara untuk memberikan bantuan kewangan.
“YB Gobind melawat kami dan menghulurkan sedikit wang. Beliau juga berjanji akan membantu suami mencari kerja dan sekolah untuk anak saya,” katanya merujuk Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo.
Grace mengakui lega keluarganya kini selamat dan amat menghargai setiap individu yang memberikan bantuan.
“Saya tidak lagi perlu risaukan kebajikan anak saya. Terima kasih tidak terhingga,” katanya.