
Tindakan spontan warga emas itu yang bergegas mendapatkan anak saudaranya yang dibesarkan selepas yatim piatu sejak sekian lama, mengundang air mata hadirin kerana sebak.
Tidak terkecuali, air mata Alexander Nanta Linggi selaku menteri kementerian itu juga jatuh, melihat lelaki terbabit dengan segala kudratnya, berlari mengangkat anggota rebah itu di padang kawad, tanpa menghiraukan lagi selipar dipakai sudah terlucut dari kaki.
Dalam hantaran di Facebook, Alexander berkata, pada mulanya beliau menyangka warga emas itu akan menarik keluar anggota berkenaan, namun meleset apabila lelaki itu sedaya upaya mengangkatnya yang hampir tidak sedarkan diri, kembali tegak berdiri dalam perbarisan.
Alexander turut memuat naik gambar warga emas itu yang mendakap anggota terbabit dari belakang bertindak seolah-olah “benteng” agar anaknya tidak rebah semula.
“Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya.
“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.
“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” katanya dalam hantaran itu.
Lelaki itu kekal mendakap anggota berkenaan sehingga dia sedar dan dilihat kembali tegap berdiri dalam perbarisan, barulah warga emas itu melepaskan dakapannya.
Kejadian itu turut mendapat ulasan warganet yang menyatakan, betapa untungnya anak itu kerana mempunyai bapa yang begitu menyokongnya.
Terdapat juga warganet yang mengatakan peristiwa itu menyebabkan mereka teringat kepada ayah yang telah tiada.
“Kasihnya ibu dibawa ke syurga dan kasihnya ayah berkorban nyawa. Yang masih ada mak dan ayah hargai mereka semasa beliau masih ada. Teringat arwah ayah dan ibuku semoga arwah kedua orang tuaku tenang di syurga. Amen,” kata seorang pengguna, Mary Ng.
Seorang pengguna dengan nama Pak Mud turut berkata, pengorbanan serta kasih sayang seorang ayah tanpa batasnya adalah terbaik, amat beruntung bagi mereka yang masih ada ayah.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantarannya berkata, anggota yang tumbang itu dikenali Nik Mohd Adhar, yang merupakan anak angkatnya sejak lelaki berkenaan bersekolah di Sekolah Genting Tumpat, Kelantan.
“Dalam gambar yang meluru kepada beliau dan memapahnya untuk bangkit kembali seraya jatuh pitam seketika ketika berkawat pagi tadi, ialah bapa saudaranya yang bernama Abdul Aziz Ya’acob, yang memeliharanya sejak kematian kedua ibu bapa Nik Adhar.
“Baru hubungi beliau bertanya khabar. Rupanya beliau demam ketika berkawad sempena Hari Penguatkuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang pagi tadi. Moga Allah beri kesembuhan yang sempurna kepadanya,” katanya.