
Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Selangor Khusairi Husain didakwa menerima untuk dirinya wang tunai RM5,000 daripada seorang pengurus besar sebuah badan berkanun cawangan Klang yang diketahuinya ada kena-mengena dengan tugasan rasminya.
Khusairi, 56, membuat pengakuan itu selepas tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar, Sabak Bernam pada 24 Nov 2020.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan.
Peguam Noor Adzrie Mohd Noor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya ialah penanggung tunggal keluarga dan mempunyai empat orang anak.
“Saya mencadangkan jaminan RM5,000 dan sepanjang ditahan tertuduh memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM selain tidak membantah sebarang syarat tambahan dikenakan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah juga menetapkan 22 Ogos untuk sebutan semula kes.