Pelanggaran MoU pekerja asing akan jejas keyakinan pelabur, kata pakar ekonomi

Pelanggaran MoU pekerja asing akan jejas keyakinan pelabur, kata pakar ekonomi

Perkara ini juga boleh memberi Malaysia reputasi sebagai negara yang tidak menghormati perjanjian di peringkat antarabangsa, kata Geoffrey Williams.

Malaysia berisiko merosakkan reputasinya jika ia tidak dapat menjamin kebajikan pekerja asing, kata pakar ekonomi Geoffrey Williams.
PETALING JAYA:
Langkah Indonesia membekukan sementara penghantaran pekerjanya ke Malaysia berikutan dakwaan pelanggaran perjanjian antara kerajaan kedua-dua negara boleh menghakis keyakinan dalam kalangan pelabur asing, menurut pakar ekonomi.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, tiada jaminan bahawa pelanggaran seperti itu tidak akan berulang.

“Ia akan merosakkan imej Malaysia jika kerajaan tidak dapat menjamin keselamatan dan kontrak mereka,” katanya kepada FMT sambil menambah, perkara ini juga boleh memberi Malaysia reputasi sebagai negara yang tidak menghormati perjanjian di peringkat antarabangsa.

Williams berkata, pembekuan sementara oleh Indonesia itu dan isu yang mencetuskannya akan membawa kesan yang lebih luas jika tidak diselesaikan segera.

Geoffrey Williams.

“Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada ekonomi yang berfungsi dengan baik,” katanya.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu berikutan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah, satu amalan yang Jakarta mahu dihentikan disebabkan risiko buruh paksa.

Kerajaan Indonesia berkata, tindakan ini adalah “pelanggaran total” MoU yang ditandatangani pada 1 April mengenai penempatan dan perlindungan pembantu rumah dari negaranya.

Walaupun Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memperkecilkan isu itu dengan mendakwa Putrajaya masih boleh mendapatkan tenaga kerja asing dari 15 negara lain, Williams berkata, ia tidak semudah itu.

Katanya, Malaysia menjadi kurang menarik dari segi ekonomi bagi pekerja asing kerana gaji yang rendah, yuran agensi yang tinggi dan perlindungan undang-undang yang tidak berkesan.

Melabelkan kenyataan Hamzah sebagai “bongkak”, Charles Santiago daripada DAP berkata, negara sumber lain akan memerhatikan apa yang berlaku dan mengenakan langkah yang lebih ketat untuk melindungi pekerja mereka.

“Negara-negara ini mungkin berhenti menghantar (pekerja) ke Malaysia kerana kerajaan (kita) tidak boleh dipercayai,” katanya.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, Hamzah bukan sahaja tidak bersikap diplomatik, malah tidak memahami pasaran buruh pada masa syarikat-syarikat sangat memerlukan pekerja asing.

“Warga Indonesia adalah yang paling hampir memahami budaya Malaysia jadi mereka akan mudah diurus apabila datang bekerja, terutamanya dengan bahasa kita yang serupa, berbanding pekerja Bangladesh.

“Kementerian menjadikan syarikat (seperti) tebusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.