
Proses pendakwaan terhadapnya tidak diteruskan kerana melibatkan tuduhan sama serta hukuman dikenakan di mahkamah sivil lebih berat berbanding mahkamah syariah.
Paralegal kepada peguam R Sivaraj yang mewakili Nuramira, Hannann Syoffeeya Zainal Syahrir dalam kenyataan berkata, beliau menerima panggilan daripada pegawai Jawi pada 10 malam semalam yang memaklumkan wanita itu akan dibebaskan tanpa jaminan atau bon oleh Jawi dengan serta-merta.
Katanya, beliau juga dimaklumkan, Jawi akan berhubung dengan Nuramira atau pihaknya apabila sudah bersedia untuk meneruskan prosiding pendakwaan, menurut Berita Harian.
Dalam pada itu, pasukan peguamnya berkata, mereka sudah bersedia untuk prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini, namun setakat 9 malam tadi, mereka tidak berjaya mendapatkan seorang penjamin untuk membantu Nuramira.
Katanya, mereka hanya berjaya mendapatkan seorang akauntan dari London yang baru pulang ke Malaysia, namun peguam syarie berasa lelaki terbabit tidak sesuai menjadi penjamin, oleh itu mereka terus mencari penjamin yang sesuai.
Nuramira ditahan penguatkuasa Jawi semalam selepas dibebaskan dengan jaminan berkaitan pertuduhan menghina Islam yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 13 Julai lalu, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail, pada 4 Jun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membenarkan Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.
Pada hari sama penulis bebas dipercayai teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.