Tuntutan palsu Penjana Kerja RM100 juta: Pengarah antara 3 individu ditahan SPRM

Tuntutan palsu Penjana Kerja RM100 juta: Pengarah antara 3 individu ditahan SPRM

Kes itu berkaitan tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Tiga suspek itu direman di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Kuantan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
PETALING JAYA:
Tiga lagi individu termasuk seorang wanita direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).

Kes itu berkaitan dengan tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Sumber berkata, daripada tiga individu terbabit, seorang suspek yang juga pengarah syarikat ditahan reman empat hari mulai hari ini sehingga 22 Julai.

Permohonan reman oleh SPRM itu dibenarkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Dua lagi suspek, pengurus syarikat direman di Pahang selama lima hari bermula hari ini, selepas Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.

Sumber berkata, pengarah syarikat berusia 46 tahun terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 8.30 malam, semalam, kerana dipercayai mengemukakan borang pengesahan pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, borang pengesahan pekerja itu bagi membolehkan syarikat berkenaan memperolehi peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk melaksanakan program insentif pengambilan pekerja dan program latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Dua lagi suspek iaitu pengurus syarikat yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun pula ditahan di Pejabat SPRM Pahang kira-kira jam 4.30 petang, semalam, kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bagi tujuan sama, membabitkan nilai melebihi RM600,000,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, operasi dan siasatan masih diteruskan dan beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

Pada 14 Julai lalu, SPRM telah menahan 37 individu di beberapa negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu berkenaan. Tiga lagi individu ditahan di Johor serta Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes sama.

Semalam, dua lagi individu iaitu ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Ops Hire setakat ini seramai 45 individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.