Rugi RM10.46 bilion, buah sawit tak dipetik akibat kurang pekerja

Rugi RM10.46 bilion, buah sawit tak dipetik akibat kurang pekerja

Zuraida Kamaruddin berkata, 75% tenaga kerja dalam sektor perladangan sawit terdiri daripada pekerja asing.

Zuraida Kamaruddin berkata, kekurangan buruh menyebabkan kira-kira 57,880 tan sehari atau 1.5 juta tan buah tandan segar tidak dapat dituai sebulan, dari Januari hingga Mei tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sektor kelapa sawit negara dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM10.46 bilion disebabkan buah sawit tidak dipetik dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini akibat kekurangan buruh berterusan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin berkata, dengan anggaran purata produktiviti dua tan buah tandan segar sehari, kekurangan 28,940 buruh dalam sektor itu menyebabkan kira-kira 57,880 tan sehari atau 1.5 juta tan buah tandan segar tidak dapat dituai sebulan.

“Berdasarkan pengiraan ini, anggaran kerugian buah sawit yang tidak dapat dipetik kerana tiada tenaga buruh dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini adalah 7.52 juta tan, dengan nilai RM10.46 bilion, iaitu mengambil kira purata harga buah tandan segar bagi Jan-Mei 2022 iaitu RM1,390 satu tan metrik,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) berhubung kekurangan buruh dalam industri kelapa sawit dan kesannya kepada sektor itu.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Zuraida berkata, kerajaan menggalakkan ladang meningkatkan penggunaan jentera bagi mengurangkan kebergantungan buruh.

“Penggunaan jentera juga dapat meringankan beban kerja serta membantu meningkatkan produktiviti
pekerja.

“Peningkatan produktiviti akan meningkatkan pendapatan pekerja dan ini diharapkan akan dapat menarik lebih ramai belia untuk menyertai sektor ini.”

Katanya, sektor perladangan sawit sangat bergantung kepada pekerja asing, dengan lebih 75% tenaga kerjanya terdiri daripada pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.