Pekerja Indonesia serasi, cita rasa sama; peniaga mengeluh pembekuan jejas industri makanan

Pekerja Indonesia serasi, cita rasa sama; peniaga mengeluh pembekuan jejas industri makanan

Pengusaha makanan berkata mereka lebih selesa mengambil pekerja Indonesia kerana mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, cita rasa makanan dan bahasa berbanding negara sumber lain.

Pengusaha makanan berkata pekerja Indonesia mempunyai kemahiran diperlukan dalam industri makanan tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pekerja asing dari negara sumber lain tidak boleh mengatasi kelebihan pekerja Indonesia yang dilihat lebih serasi dengan majikan khususnya pengusaha perniagaan makanan.

Seorang pengusaha kantin, Hamzah Basir, 57, berkata mereka lebih mudah berurusan dengan pekerja Indonesia kerana mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, cita rasa makanan dan bahasa.

“Agak malang kalau sampai satu tahap kita terpaksa mengetepikan pekerja Indonesia, malang kepada negara juga dan bukan sahaja untuk pengusaha industri makanan,” katanya kepada FMT.

Hamzah berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai isu itu dan bertindak dengan membuat rundingan agar Indonesia menarik semula keputusan mereka.

Hamzah Basir.

“Janganlah terus menjawab bahawa kita ada lagi 15 (negara sumber) lain. Adakah mereka boleh beri jaminan tenaga buruh dari negara lain itu mahu datang bekerja di sini? Bukan peniaga saja terkesan, tetapi negara juga,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan menggunakan 15 negara sumber lain bagi pengambilan pekerja asing, susulan keputusan Indonesia membekukan kemasukan tenaga kerjanya.

Terdahulu, Duta Besar Indonesia Hermono membidas keengganan Malaysia mematuhi memorandum persefahaman (MoU) pembantu rumah negara itu, yang ditandatangani tiga bulan lalu dengan menyifatkannya sebagai “tidak menghormati” presiden negaranya Joko Widodo.

Mohd Noorirwan Razali.

Hermono berkata, Indonesia telah mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia memasuki Malaysia berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Dalam pada itu, pengusaha kedai makan, Mohd Noorirwan Razali, 39, pula melihat langkah berkenaan mungkin membuka ruang bagi mengurangkan pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun katanya, ia sebenarnya bukan perkara mudah untuk mengupah pekerja tempatan berbanding warga Indonesia.

“Masalahnya, berapa ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang ingin bekerja dalam industri makanan, jadi tukang masak dan sebagainya? Saya sendiri sukar mencari pekerja.

“Selain itu, kemahiran yang ada pada pekerja Indonesia diperlukan dalam industri kita. Sebagai contoh, mereka yang berasal dari Medan pandai memasak dan mempunyai kemahiran tersendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.