
Goh Bok Yen berkata, lanjutan tiga bulan untuk ketua projek bernilai berbilion ringgit itu tidak masuk akal kerana kerja Laluan Lingkaran masih berjalan.
“Projek Laluan Lingkaran adalah bahagian terakhir dalam sistem pengangkutan awam Lembah Klang. Ia akan memastikan sambungan ke semua rangkaian pengangkutan awam termasuk bas, tren KTM, LRT, MRT 1 dan 2 dan sebagainya.”
Katanya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MRT Corp, Zarif Hashim bertanggungjawab ke atas projek Laluan Lingkaran, yang merupakan sebahagian daripada projek MRT3.
“Memandangkan beliau menjalankan tugas dengan baik, beliau harus dibenarkan untuk menghabiskan tugasnya kerana kita tidak mahu projek itu berdepan masalah,” kata Goh.
Kontrak dua tahun Zarif tamat pada 14 Julai lalu. Beliau diberikan lanjutan tiga bulan, menurut The Edge Weekly, yang melaporkan ramai melobi untuk jawatan CEO kerana nilai kontrak keseluruhan projek MRT3 boleh mencecah RM40 bilion, dengan kos pembinaan sahaja dianggarkan RM31 bilion.
Sebelum ini, MRT Corp dilaporkan mengguna pakai model pembiayaan hibrid untuk projek itu, walaupun Kementerian Kewangan memberikan komitmen pembiayaan RM50 bilion.
Goh berkata, tidak kira siapa yang bertanggungjawab dalam MRT Corp, lanjutan tiga bulan untuk ketua projek berbilion ringgit tidak masuk akal.
“Melainkan ada alasan baik untuk menggantikannya (Zarif), beliau tidak patut diberi kontrak selama tiga bulan. Bagi projek yang berskala besar dan penting seperti ini, amat penting untuk mempunyai kepastian dalam kepimpinan.”
Laluan MRT3 terdiri daripada jajaran bulatan sepanjang 50.8km mengelilingi Kuala Lumpur. Ia akan dilengkapi 31 stesen, dengan 10 daripadanya merupakan stesen pertukaran kepada lapan laluan rel transit sedia ada di Lembah Klang.