Menteri nafi buat perjanjian dengan Indonesia mansuh MOS

Menteri nafi buat perjanjian dengan Indonesia mansuh MOS

M Saravanan berkata, pembekuan sementara penghantaran pekerja Indonesia ke Malaysia akibat kekeliruan berhubung mekanisme pengambilan.

M Saravanan berkata, tiada pembekuan kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia, sebaliknya ia hanyalah penangguhan sementara.
KUALA LUMPUR:
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, tiada syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia untuk memansuhkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS).

Katanya, terdapat syarat dalam MoU itu untuk menggunakan sistem sedia ada di Indonesia.

“Tetapi, ia tak syaratkan kita akan mansuhkan sistem yang kita ada,” katanya di Dewan Rakyat.

“Semalam adakan perbincangan dengan Indonesia dan setuju integrasi dengan sistem Kementerian Dalam Negeri dan sistem dicadangkan Indonesia.”

Saravanan berkata, pembekuan sementara kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia akibat kekeliruan dalam mekanisme pengambilan pekerja domestik dari republik itu.

Tegasnya, ia bukan pembekuan berterusan, sebaliknya hanya penangguhan sementara dan kekeliruan itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin semalam.

“Mesyuarat tersebut bersetuju supaya perbincangan segera diadakan oleh Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia serta Duta Besar Indonesia ke Malaysia bagi menyelesaikan permasalahan ini.”

Beliau menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (PH-Seremban) berhubung sebab Malaysia gagal mematuhi syarat dalam MoU itu yang menyebabkan pembekuan itu.

Pada 13 Julai lalu, Hermono dilaporkan berkata, Jakarta melaksanakan pembekuan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia kerana Jabatan Imigresen masih menggunakan MOS untuk pengambilan pembantu rumah berbanding One Channel System, yang dipersetujui dalam MoU yang ditandatangani kedua-dua negara pada April lalu.

Di bawah MOS, pekerja Indonesia boleh memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja, tetapi Jakarta mahu amalan itu dihentikan susulan risiko buruh paksa yang dihadapi rakyatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.