Jimat 5% Belanjawan 2022 tak babit keselamatan negara, kata PM

Jimat 5% Belanjawan 2022 tak babit keselamatan negara, kata PM

Ismail Sabri Yaakob berkata, penjimatan itu akan dibuat menerusi projek pembangunan yang belum dilaksanakan dan dalam perancangan.

Pasukan khas elit polis beraksi ketika gimik perasmian Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penjimatan 5% daripada baki peruntukan mengurus Belanjawan 2022 tidak akan melibatkan aspek keselamatan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, penjimatan itu akan dibuat menerusi projek pembangunan yang belum dilaksanakan dan dalam perancangan.

“(Bajet berkaitan keselamatan) tak terjejas. Keselamatan mesti jadi keutamaan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara.

Ismail mengulas langkah kerajaan menyusun semula peruntukan bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 5% penjimatan daripada baki peruntukan mengurus 2022, sama ada melibatkan peruntukan keselamatan negara atau tidak.

Pada 16 Julai lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan usaha kerajaan itu bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Ismail ketika diminta perincian mengenai bajet berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata, Malaysia akan memperkenalkan doktrin Keselamatan Menyeluruh (Comsec) bagi membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.

Katanya, doktrin Comsec diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan Malaysia mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara ketika ini dan pada masa depan.

Oleh itu, beliau mahu seluruh jentera kerajaan memastikan strategi Comsec diterapkan dalam semua aspek tadbir urus negara serta MKN melaksanakan inisiatif Latih Amal Keselamatan Menyeluruh dengan segera.

“Latih Amal Keselamatan Menyeluruh ini membolehkan tahap kesiapsiagaan dipertingkat untuk Malaysia menghadapi sebarang potensi situasi krisis pada masa hadapan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.