
Murad, 24, warga Libya yang berada dalam tahun akhir kuliah perubatan berkata, ketiadaan visa memberi banyak masalah kepada pelajar asing dari segi kewangan, keselamatan, kebebasan dan pengajian mereka.
Menurutnya, mereka perlu membayar kompaun kerana dikira tinggal lebih masa dan selagi tidak berbuat demikian, permohonan visa akan tertangguh lagi.
“Ada juga dalam kalangan kami tak dapat melakukan latihan industri kerana tiada visa.
“Selagi tiada visa, kami hidup dalam ketakutan. Apabila saya berjumpa rakan, masalah kami bincangkan adalah berkaitan visa. Kalau terserempak pihak berkuasa, kami terpaksa mengelak kerana takut ditahan sebab visa tamat tempoh.
“Ini sangat menyulitkan mereka,” katanya ketika ditemui FMT.
Sementara itu, Samiya, 28, pelajar sarjana dari Pakistan pula berkata, beliau kini mengalami masalah kewangan kerana akaun banknya dibekukan akibat visa tidak disambung.
Beliau hanya bergantung kepada simpanan yang semakin susut, katanya, dan menggesa kompaun tersebut dibayar oleh pihak universiti, bukan pelajar, memandangkan kebanyakan mereka membuat permohonan mengikut tempoh diberikan.
“Dengan simpanan yang semakin susut, saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan,” katanya.
“Saya mahu pihak universiti menanggung kompaun saya sebab ia bukan salah saya. Saya dah buat permohonan sejak Mac lepas sebelum visa luput. Kelewatan itu berpunca daripada pihak pengurusan tetapi saya yang perlu membayarnya.”
Turut mengalami nasib sama, seorang pelajar Thailand yang enggan dikenali berkata, beliau tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama keluarga kerana pasportnya sudah berbulan-bulan berada di Bahagian Unit Visa UIAM.
“Masalah visa sangat memberi kesan kepada emosi. Sudah dua kali sambutan Hari Raya saya tak dapat balik ke Thailand kerana visa masih belum siap.
“Saya tak sangka masalah ini boleh berlaku. Saya dah ikut segala garis panduan yang diberikan dan permohonan dibuat tiga bulan sebelum visa luput, tetapi sehingga kini masih belum dapat lagi visa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa lebih 300 pelajar antarabangsa UIAM mendakwa mereka sudah lebih lima bulan lewat menerima visa, menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perjalanan atau pulang ke negara masing-masing.
Dalam pada itu, Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UIAM Ahmad Faris Ismail berkata, pihak universiti memandang serius isu ini dan meminta pelajar bersabar kerana pihaknya sedang berusaha menyelesaikannya.
“Pihak universiti sedang bekerjasama secara langsung dan rapat dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera.
“Kami harap pelajar bersabar dan berdoa agar proses ini dipermudahkan, Insya Allah, masalah ini akan selesai tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.