
“Ia dalam hitam putih. Ia sebahagian daripada lampiran yang merupakan bahagian penting memorandum persefahaman (MoU) itu,” kata sumber yang enggan dinamakan atas sensitiviti isu itu.
Berdasarkan salinan lampiran yang dilihat FMT, syarat pemansuhan MOS untuk pembantu rumah Indonesia terletak di bawah subjek “One Channel System” (OCS).
Ia menyatakan “OCS sebagai satu-satunya mekanisme penempatan IDMW (Pekerja migran domestik Indonesia) di Malaysia.”
Ia turut menyatakan “Tiada mekanisme penempatan IDMW lain kecuali OCS, contohnya Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian, Visa Perjalanan dan Pas MyTravel.”
Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian ialah nama bahasa Melayu untuk MOS.
Terdahulu, Saravanan hari ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada syarat untuk memansuhkan MOS dalam MoU itu.
Indonesia melaksanakan pembekuan kemasukan pekerjanya ke Malaysia atas alasan Malaysia tidak mematuhi MoU mengenai penggunaan MOS.
Di bawah MOS, pekerja Indonesia boleh memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja, tetapi Jakarta mahu amalan itu dihentikan susulan risiko buruh paksa yang dihadapi rakyatnya.