Datuk Bandar berwawasan, bawa kesan positif untuk KL

Datuk Bandar berwawasan, bawa kesan positif untuk KL

Mahadi Che Ngah mengabdikan diri hampir empat dekad demi DBKL.

DBKL memulakan rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah banjir kilat dalam bandar di bawah pimpinan Datuk Bandar Mahadi Che Ngah.
PETALING JAYA:
Pada Oktober 2020, Kuala Lumpur menyambut Datuk Bandar baharu dengan pelantikan Mahadi Che Ngah, pemimpin bersemangat yang mengabdikan diri hampir empat dekad untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah selama bertahun menyaksikan sendiri pelbagai evolusi dilalui ibu kota tercinta.

Sebagai seorang yang sudah begitu sebati jiwanya dengan KL, pentadbiran Mahadi memang amat diperhatikan dalam menilai sama ada “bos” terbaru DBKL itu mampu membawa kelainan, seterusnya memacu KL seiring ibu negara maju di seluruh dunia.

Walaupun baru setahun setengah menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Datuk Bandar, Mahadi nyata telah membawa kesan positif kepada ibu negara, menurut pemerhati.

“Berdasarkan pengamatan saya, walaupun banjir memang isu dihadapi setiap tahun di KL, ada beberapa perubahan jelas dapat dilihat dalam tempoh dua tahun ini.

“Kalau dulu kesan banjir berterusan sehingga berhari-hari, kini kita dapat lihat ia hanya dirasai selama beberapa jam. Jadi mesti ada sesuatu yang betul dilakukannya,” menurut seorang pencinta alam sekitar.

Beberapa kawasan dilanda banjir kilat dan air bertakung susulan hujan lebat pada 25 April lalu kembali normal selepas hanya 45 minit.

Baru-baru ini, Mahadi mengumumkan beberapa langkah baharu diambil DBKL untuk mengurangkan masalah banjir di ibu negara, menerusi pengurusan bersasar kawasan panas banjir kilat. Bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022, DBKL melaksanakan 14 langkah interim berpandukan ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Langkah itu termasuk memastikan saluran keluar air ke longkang tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang. Selain itu, saluran masuk air turut dinaik taraf untuk memastikan kecerunan saluran bagi memudahkan aliran. Bilangan jentera dan petugas DBKL turut ditempatkan di lokasi berisiko banjir supaya trak tunda, lori pam mudah alih, dan pam air berkuasa tinggi dapat dikerahkan apabila banjir berlaku.

Kolonel (B) Mohamad Fuzi Taib berkata: “Sebagai penduduk lama di Wangsa Maju, saya berpuas hati dengan perubahan diperkenalkan Datuk Bandar ini untuk bandar kita. Jelas beliau komited untuk melakukan yang terbaik demi masyarakat.

“Contohnya, DBKL telah membina laluan basikal dan pejalan kaki di kawasan ini, malah bas elektrik juga kini beroperasi di Wangsa Maju. Memang seronok melihat langkah proaktif dibawa oleh DBKL bagi membantu penduduk menjalani kehidupan lebih sihat dan hijau.”

Bawah Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 juga, DBKL memperbaiki langkah penyuraian lalu lintas dengan mengerahkan lebih ramai warden trafik membantu melencongkan pergerakan lalu lintas. DBKL turut memperbaiki aliran air dengan membina “sump” baharu selain meletakkan guni pasir sebelum membina tembok banjir.

Sebagai tambahan, Mahadi telah melaksanakan bilik gerakan 24 jam untuk menguruskan banjir di ibu kota. Kamera dengan fungsi kecerdasan pintar 24 jam diletakkan di lokasi strategik bagi membantu pengurusan sistem lalu lintas SMART, selain memantau paras air dari Kuala Lumpur Command and Control Centre. Ini juga dapat mengekang jenayah selain mengawasi aset bandar raya ini.

Memandangkan perubahan iklim akan terus membawa kesan buruk terhadap bandar raya dengan kadar penduduk tinggi seperti KL, persoalan yang timbul kini adalah sama ada kita bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Mahadi dilihat memberikan tumpuan terhadap kesan perubahan iklim pada masa ini dan akan datang, selain menyesuaikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan keperluan KL. Bawah pentadbirannya, SDG telah dimasukkan ke dalam Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, selain melaksanakan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon 2030 dan Pelan Tindakan Iklim 2050.

Usaha seperti ini antara langkah jangka panjang DBKL ke arah mencapai wawasan “Kuala Lumpur Bandar untuk Semua” sebelum 2040.

Chau Loon Wai, pensyarah kanan dan pengarah bersama Pusat Penyelidikan Rendah Karbon Asia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata: “Jelas bahawa Mahadi memang Datuk Bandar yang bersifat ‘hands-on’. Memang beliau diketahui sering turun padang untuk melihat sendiri apa yang perlu diperbaiki, dan memastikan pasukannya di DBKL melaksanakannya dengan baik.

“Mengikut perhatian saya, beberapa perubahan ketara dapat dilihat selama tempoh hampir dua tahun ini, yang memperbaiki ruang bandar dan persekitaran tempat tinggal di bandar ini. Kita kini dapat melihat lebih banyak kemudahan untuk pejalan kaki, dan DBKL juga berjaya menghijaukan dan mengindahkan bandar ini.”

Nampaknya, Datuk Bandar ini memacu pelbagai perubahan di KL, namun adakah beliau mempunyai masa mencukupi untuk melihat hasilnya dikecapi sepenuhnya nanti?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.