
Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Shaun Cheah berkata, kerajaan harus cuba menjadi agensi penempatan pekerja tempatan dalam sektor tersebut.
“Barulah (kerajaan) akan faham betapa sukarnya untuk mengisi (kekosongan) tersebut,” katanya.
Kerajaan kemudiannya perlu membuktikan bahawa ia boleh memenuhi kuota 80% pekerja Malaysia berbanding meminta majikan melakukannya, tambahnya.
Bagaimanapun, seorang lagi ketua kumpulan perniagaan berkata, nisbah 80:20 pekerja tempatan kepada pekerja asing harus dimansuhkan.
“Amat sukar untuk mencari pekerja tempatan. Ramai penduduk tempatan tidak mahu bekerja dalam pekerjaan yang kotor, berbahaya dan sukar (3D).
“Walaupun selepas dua tahun, populasi Malaysia tidak cukup untuk (memenuhi keperluan) pekerja dalam sektor ini,” kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Anthony Ding.
Kedua-dua tokoh perniagaan itu memberi respons terhadap keputusan kerajaan baru-baru ini untuk menangguhkan selama dua tahun pelaksanaan peraturan bahawa syarikat pembuatan boleh mengambil pekerja asing hanya selepas 80% tenaga kerja mereka terdiri daripada rakyat Malaysia.
Cheah berkata, peraturan 80:20 itu ialah “usaha hebat oleh MITI” (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) memandangkan syarikat tidak akan menghadapi tekanan untuk memenuhi kuota tersebut.
Namun kerajaan mesti menyelesaikan masalah menarik lebih ramai pekerja Malaysia ke dalam sektor pembuatan. Beliau juga mencadangkan agar pelarian dan pasangan ekspatriat dibenarkan mencari pekerjaan.
“Mereka yang berada di pusat tahanan juga harus dibenarkan bekerja di fasiliti terkawal.
“Ini boleh menjimatkan lebih banyak wang untuk kerajaan kerana mereka sudah ada penginapan,” katanya sambil menambah, tenaga kerja yang stabil diperlukan untuk mengatasi kesan wabak Covid-19.
Ding berkata, kerajaan harus memberi keutamaan kepada automasi, dengan menyediakan mesin dan sokongan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi insentif.
Langkah sedemikian akan menarik lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya pekerja muda, katanya.
“Didik dan latih mereka menggunakan mesin-mesin ini. Alternatif ini akan membolehkan pekerja muda rasa industri telah bertambah baik dan keadaan kerja tidak menyusahkan,” katanya.
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai berkata, pelaksanaan nisbah 80:20 menjejaskan keupayaan syarikat untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Katanya, proses mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui automasi sudah pun berlaku, namun ia adalah proses beransur-ansur yang mesti terus disokong oleh kerajaan.