
Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) berkata setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk mengekang inflasi.
Tambahnya, langkah kerajaan itu juga telah meletakkan kadar inflasi negara pada paras paling rendah di Asia Tenggara.
“Pada bulan lalu, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah ditubuhkan bagi membantu Keluarga Malaysia untuk berhadapan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup.
“Meskipun ada pemimpin politik yang mengecam dan menyifatkan penubuhan jawatankuasa tersebut sebagai ‘bangang’, hakikatnya setiap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengekang inflasi,” katanya di Dewan Rakyat.
Pada 3 Julai lalu, Anwar menyifatkan kerajaan sebagai “bangang” apabila hanya bertindak menubuhkan jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani harga barang termasuk ayam selepas enam bulan rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang.
Anwar berkata penubuhan jawatankuasa itu sepatutnya boleh diadakan lebih awal sebelum kenaikan harga barang dan berusaha membendungnya lebih awal.
Pada 13 Julai lalu, kadar inflasi Malaysia dijangka kekal rendah untuk berlegar antara dua hingga 3.5% tahun depan susulan langkah penyaluran subsidi besar oleh kerajaan yang mewakili tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Sementara itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob turut menjawab pertanyaan Salim mengenai perbezaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dengan berkata pasukan khas itu menumpukan isu semasa dan terkini mengenai kenaikan harga barangan.
Sebaliknya beliau berkata NACCOL yang bermesyuarat dua kali setahun membincangkan isu dasar yang bukan hanya meliputi harga barangan malah antaranya kos pengangkutan dan isu perumahan.
“Pasukan khas ini yang dipengerusikan Ketereh (Annuar Musa) perlu membuat pengumuman atau sidang akhbar dua kali seminggu, jadi rakyat tahu perkembangan dan apa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.
Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.