
Annuar berkata, ia susulan penurunan harga sawit sehingga 25% dalam masa dua minggu sejak bulan lalu.
“Kita berpegang kepada prinsip untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak industri termasuklah pengilang.
“Kita sangatlah memerlukan persefahaman di peringkat kilang, sepantas mana mereka naikkan harga sewaktu minyak naik harga, sepantas itu jugalah harga perlu diturunkan,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi semasa sidang media di Parlimen.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
Katanya, pada ketika ini, harga minyak tidak bersubsidi masih pada tahap yang agak tinggi dan laporan diberi kepada jawatankuasa hari ini menunjukkan, trend menurun telah dilaksanakan oleh beberapa peruncit tetapi tidak menyeluruh.
“Kita sekali lagi bersetuju memohon kerjasama semua pengilang dan dalam tempoh seminggu dua daripada sekarang, kita ingin melihat minyak masak diturunkan kepada satu paras sekurang-kurangnya 10% lebih rendah daripada harga dijual sekarang iaitu RM42 sebotol,” katanya.
Mengulas mengenai isu harga ayam Annuar berkata, pihaknya berpuas hati dengan harga dijual di bawah kadar harga siling.
“Purata nasional mingguan, sehingga 9 Julai ialah pada harga RM9.25 sekilogram, malah ada negeri yang telah menawarkan harga lebih rendah bawah RM9, di Pahang merekodkan harga terendah RM8.95 sekilogram,” katanya.