Saifuddin enggan ulas kedudukan Tajuddin sebagai duta

Saifuddin enggan ulas kedudukan Tajuddin sebagai duta

Menteri luar itu sebaliknya pendirian Wisma Putra dalam hal membabitkan lantikan duta adalah kekal seperti sebelum ini, iaitu tidak mengumumkan sebarang nama sebelum mereka menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, pendirian Wisma Putra dalam hal membabitkan lantikan duta adalah kekal seperti sebelum ini, iaitu tidak mengumumkan sebarang nama sebelum mereka menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.
PETALING JAYA:
Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, enggan mengulas mengenai kedudukan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang sebelum ini dikatakan dipilih sebagai duta negara ke Indonesia.

Memetik laporan Malaysiakini, Saifuddin sebaliknya menegaskan, pendirian Wisma Putra dalam hal membabitkan lantikan duta adalah kekal seperti sebelum ini, iaitu tidak mengumumkan sebarang nama sebelum mereka menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Nama itu hanya akan keluar pada hari penyerahan watikah.

“Maknanya kalau Seri Paduka Baginda menyerahkan watikah, kalau lima (watikah), limalah, kalau sepuluh, sepuluhlah… itu yang rasmi,” katanya.

Jelas Saifuddin lagi, hal yang sama berlaku ke atas diplomat asing yang menjadi wakil negara luar ke Malaysia.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, jika diplomat terbabit menerima watikah daripada Agong, barulah mereka secara rasmi menjadi wakil kepada sesebuah negara.

“Sebab itu Wisma Putra lazimnya tidak mengeluarkan apa-apa (kenyataan), siapa bakal jadi duta, siapa bakal diterima sebagai duta… kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Sebelum ini, Tajuddin dilaporkan digugurkan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia, selepas kerajaan “berubah hati” mengenai pelantikannya, menurut sumber kerajaan

Pada 12 Julai lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengurniakan watikah pelantikan kepada empat ketua perwakilan Malaysia ke luar negara, tetapi nama Tajuddin tidak tersenarai dalam pengurniaan watikah itu.

Isu pelantikan Tajuddin sebelum ini mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk bekas diplomat. Beberapa pihak dalam Umno turut mendesak Tajuddin digugurkan kerana tindakannya menyerang Presiden, Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang disifatkan “memalukan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.