
Ramkarpal dalam kenyataan berkata, Apandi sepatutnya meminta ahli Jho Low, yang dikehendaki berhubung skandal rasuah 1MDB, menyerah diri.
“Memandangkan Apandi adalah peguam negara pada kemuncak skandal 1MDB dan membersihkan nama bekas perdana menteri, Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung kes itu, beliau tidak patut berbincang dengan wakil Jho Low, sebaliknya perlu menuntutnya menyerah diri.”
Katanya, sebarang cubaan menyelesaikan kes jenayah Jho Low sebagai pertukaran dengan sejumlah wang mungkin satu bentuk rasuah dan Apandi perlu mendedahkan jika wakil Jho Low memaklumkan ini adalah niatnya.
Wakil rakyat DAP itu berkata, Apandi juga perlu mengesahkan jika peguam Jho Low yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kobre & Kim, meminta semua tuduhan jenayah terhadap ahli perniagaan itu digugurkan dalam pertemuan mereka dengan AGC.
Ramkarpal turut mempersoalkan jika Apandi dibayar oleh peguam Jho Low kerana membantu mereka mengatur pertemuan itu.
“Jika dia dibayar, adakah bayaran sedemikian dibuat daripada dana 1MDB yang didakwa diseleweng ahli perniagaan itu.
“Apandi perlu memberi penjelasan tanpa sebarang penangguhan untuk mengelakkan spekulasi tidak perlu yang mungkin timbul daripada rundingan sedemikian.”
Semalam, Apandi mengesahkan beliau dihubungi peguam Jho Low untuk mengatur pertemuan dengan AGC, yang diadakan pada Mei lalu.
Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan penghantaran pulang wang yang didakwa diseleweng oleh Jho Low dari 1MDB. Tetapi, beliau berkata, rundingan itu gagal atas sebab yang tidak diketahuinya.
Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Peguam Negara, Idrus Harun menjelaskan sebab AGC menemui wakil Jho Low.
“Adakah Idrus tidak menghantar mesej salah bahawa pegawai tertinggi undang-undang Malaysia sanggup berdepan penyangak dan pelarian yang dikehendaki, berbanding menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih,” soalnya dalam kenyataan.
Katanya, sebarang perjanjian dengan Jho Low untuk menyelesaikan kesnya dengan sebarang bayaran bukan saja “tidak bermoral, tidak beretika, tetapi salah di sisi undang-undang” kerana semua aset Jho Low berjumlah berbilion ringgit boleh dirampas apabila didakwa dan disabitkan bersalah.