Pemimpin korup halang laluan saya jadi PM, kata Anwar

Pemimpin korup halang laluan saya jadi PM, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata beliau mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu pada Sept 2020, tetapi langkah itu gagal.

Anwar Ibrahim berkata, beliau berpeluang menjadi perdana menteri pada September 2020 selepas majoriti ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah menyokongnya menjadi perdana menteri.
SHAH ALAM:
Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menjadi perdana menteri sekarang, jika bersetuju dengan permintaan pemimpin korup untuk campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Berucap dalam Kongres Nasional PKR, pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau berpeluang menjadi perdana menteri pada September 2020 selepas majoriti ahli Parlimen menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokongnya menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun katanya, beliau terpaksa melupakan hasratnya menjadi perdana menteri setelah diminta memberi jaminan kepada beberapa tokoh penting dalam Barisan Nasional dan Umno untuk menutup kes mahkamah mereka.

“Saya jawab tak mungkin (buat macam tu). Saya jawab terima kasih, dan kita hadapi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kata Anwar ni gagal (jadi perdana menteri). Dengar ni, kalau saya nak berjaya dengan jadi penjilat kepada perasuah, pilih presiden lain,” tegasnya sambil disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

Pada September 2020, Anwar mengumumkan bahawa beliau telah memperoleh sokongan dalam bentuk SD daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, enam bulan selepas Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

PN berkuasa pada 2020, berikutan kejatuhan kerajaan PH selepas Bersatu menarik diri daripada gabungan pemerintah ketika itu.

Anwar mengekalkan jawatan presiden PKR bagi penggal 2022-2025 selepas menjadi satu-satunya individu yang dicalonkan untuk jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan kali ini.

Beliau juga memenangi jawatan presiden tanpa bertanding pada 2018 selepas dibebaskan dari penjara, apabila beliau mengambil alih jawatan itu daripada isteri dan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.