
Zulham Efendi Marwani, 31, berkata dia terapung di laut sejak Selasa lepas apabila bot kayu dinaikinya karam dan bergantung nasib dengan jaket keselamatan serta hanya meminum air laut untuk meneruskan hidup.
“Saya hanya fikirkan keselamatan sahaja dan sentiasa berdoa semoga selamat sama ada dibantu bot lain atau berjumpa kawasan pantai. Alhamdulillah akhirnya saya terdampar di pantai di sini (Pulau Kendi) dan sebuah bot nelayan membantu.
“Bot kami keluar dari jeti Tanjung Balai Asahan, Indonesia sejak Sabtu lepas dan sebenarnya mahu ke Satun, Thailand untuk mengambil barangan antaranya bawang dan buah-buahan namun bot yang dinaiki karam pada 12 Julai,” katanya yang ditemui di Jeti Pangkalan Pasukan Polis Marin di Batu Uban, semalam.
Zulham Efendi berkata ketika kejadian, terdapat lima kru termasuk seorang nakhoda di dalam bot berkenaan dengan semuanya sempat memakai jaket keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Abd Razak Mohamed berkata pihaknya menerima laporan pada 7.50 pagi semalam daripada bot nelayan tempatan yang memaklumkan menjumpai individu lelaki berada di persisiran pantai Pulau Kendi.
Beliau berkata Zulham Efendi dijumpai dalam keadaan lemah sedang meminta bantuan dan mencurigakan di kawasan pantai itu sebelum dipindahkan ke bot APMM seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
“Hasil keterangan awal, Zulham Efendi memaklumkan bahawa dia merupakan warga Indonesia serta seorang daripada kru bot yang karam dalam operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak Rabu lepas,” katanya.
Menurutnya mangsa pertama yang terselamat iaitu Aswin, 43, telah diserahkan kepada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang Bambang Suharto pada 10 pagi.
Khamis lalu, Aswin ditemui terapung di kedudukan lebih kurang 7.5 batu nautika dari barat Sungai Kongsi, Balik Pulau pada 12.25 tengah hari oleh bot nelayan sebelum dia diserahkan kepada APMM Pulau Pinang.
Operasi mencari dan menyelamat tiga lagi kru bot yang ditangguhkan pada 7.30 malam tadi akan bersambung hari ini.