
Dua gol hasil jaringan pemain pertahanan, Faiz Amer Runnizar pada minit ke-13 serta Aliff Izwan Yuslan pada m-77 sudah cukup buat anak buah Hassan Sazali Waras merakam kejayaan kali kedua buat Malaysia, selepas menundukkan Myanmar 4-3, pada 2018.
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia membalas dendam atas kekalahan pada aksi peringkat kumpulan dan menghadiahkan kekalahan pertama buat Laos pada kempen itu.
Menurut Berita Harian, Faiz membuka tirai jaringan buat Malaysia hasil sepakan percuma dan menewaskan Phounin Xayyasone.
Malaysia kemudian diasak bertalu-talu yang menyaksikan penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal terpaksa bekerja keras untuk memastikan gawang tidak bocor.
Skuad negara berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-61 namun sepakan Faiz ketika berada di hadapan gawang lawan melambung tinggi.
Asakan demi asakan dan akhirnya skuad negara meraih gol kedua dengan keputusan itu kekal sehingga wisel penamat.
Dalam pada itu, Vietnam menundukkan Thailand 5-3 menerusi sepakan penalti pada aksi penentuan tempat ketiga.
Kejohanan B-19 mula diperkenalkan pada 2002 yang menyaksikan Malaysia juara dua kali dan naib juara enam kali iaitu pada 2003, 2005, 2006, 2007, 2017 dan 2019.