
Menurut Persatuan Minyak Sawit Malaysia, sektor itu memerlukan kira-kira 80,000 pekerja pada akhir tahun lalu.
Penganalisis Sathia Varqa dari Palm Oil Analytics memberitahu FMT, sektor perladangan akan bergelut dengan penuaian mereka yang menjangkakan pekerja Indonesia akan tiba sebelum musim puncak.
Tetapi, katanya, industri itu “tidak terkejut” dengan perkembangan terbaru itu.
“Tiada aturan institusi diselaraskan yang jelas, yang boleh dipersetujui kedua-dua negara. Dengan empat menteri dalam tempoh empat tahun, bagaimanakah mereka dapat mengutamakan isu dasar atau berunding dengan rakan sejawatan mereka?” soalnya.
Beliau berkata, Malaysia tidak mempunyai peta hala tuju jangka panjang untuk membolehkan industri mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing, seperti melalui mekanisasi industri.
“Kerajaan perlu mewujudkan ekosistem bagi memastikan syarikat pemula terbabit dalam menangani masalah berterusan kekurangan buruh dalam pelbagai industri. Ada sumber dan pakar di Malaysia untuk berbuat demikian, anda hanya perlu menggunakannya.”
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, harapan untuk industri itu pulih selepas dua tahun musnah sekali lagi.
“Kami menjangkakan pekerja akhirnya dapat datang selepas sekian lama, tetapi masalah demi masalah yang timbul. Keadaan ini perlu diperbetulkan oleh kementerian terbabit atau Malaysia akan mengalami kerugian besar.”
Beliau senada dengan Sathia bahawa kebergantungan industri terhadap buruh asing boleh diselesaikan melalui mekanisasi.
Penganalisis industri minyak sawit, Khor Yu Leng berkata, Malaysia perlu memenuhi syarat kawal selia Indonesia yang jelas menyatakan ia perlu menggunakan sistem pekerjaannya.
Beliau membandingkan ketegasan Indonesia dan “dasar tidak tetap” Malaysia.
Katanya, sesetengah negara membangun kini memfokuskan piawaian buruh dan Malaysia perlu menerima hakikat itu atau berdepan kesan merumitkan.
“Malaysia bimbang dengan piawaian buruh barat, tetapi hakikatnya negara seperti Indonesia dan Bangladesh kini memberi perhatian terhadap piawaian buruh. Tetapi, Malaysia masih terperangkap dengan pendekatan pilihannya sendiri, yang jelas membawa risiko pemerdagangan dan buruh paksa.”