Pelawak Rizal van Geyzel direman sehari, akan dibebas petang ini

Pelawak Rizal van Geyzel direman sehari, akan dibebas petang ini

Beliau ditahan bagi membantu siasatan berkaitan tiga klip video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang tersebar di media sosial.

Rizal van Geyzel ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
KUALA LUMPUR:
Pelawak Rizal van Geyzel akan dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang ini kerana polis hanya mendapat perintah reman sehari ke atasnya.

Peguamnya, Ramkarpal Singh berkata, Rizal yang ditahan semalam, disiasat atas tiga video tular yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Polis pada asalnya memohon perintah reman empat hari, tetapi kami membantah. Majistret bersetuju dan membenarkan perintah reman sehari bagi Rizal,” katanya di luar IPD Dang Wangi.

Ramkarpal berkata, pengasas bersama Crackhouse Comedy Club itu akan dibebaskan selepas 6 petang ini.

Katanya, Rizal disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedirinya.

Semalam, seorang wanita yang membuat persembahan di kelab itu pada Jun lalu, Siti Nuramira Abdullah didakwa menghina Islam.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran, didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.