
Ketua wanitanya, Fuziah Salleh berkata, setakat ini pihaknya berpegang kepada perlembagaan parti dan sedaya upaya memastikan kuota wanita dapat dicapai.
“Jadi, kita seiringan di mana kita pastikan kita melaksanakan perlembagaan kita itu, kita juga membina keupayaan wanita, kita punya latihan harus berterusan supaya wanita bersedia.
“Sebab masyarakat sangat kritikal apabila ia membabitkan wanita, kalau YB (yang berhormat) itu lelaki, orang tak kritikal sangat, kadang-kadang YB lelaki itu tak pandai bahas pun, tapi orang tak kritikal sangat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada perasmian Kongres Wanita PKR bertajuk ‘Mengupayakan Wanita’ bertempat di Pusat Konvensyen (IDCC), Shah Alam.
Dalam pada itu, Fuziah turut mensasarkan jumlah peratusan calon Ahli Parlimen wanita PKR meningkat kepada 40% daripada 30%, berdasarkan perlembagaan parti.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Fuziah turut meluahkan rasa kecewanya dengan sikap dan tanggapan yang memandang rendah keupayaan wanita dalam politik, termasuk apa yang berlaku dalam PKR sendiri.
Katanya, kehadiran wanita dalam memimpin politik seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada kaum lelaki bukannya sebagai pesaing bagi memantapkan lagi organisasi politik.
“Usaha untuk mengupayakan wanita dalam parti dalam membuat keputusan perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh.
“Bagaimana nak upayakan wanita dalam membuat keputusan dengan komitmen yang tinggi ia perlu ada ‘poiticial will’ yang bersungguh. Ini bakal mencabar ‘the normal norms’ atau kebiasaan kaum lelaki yang pada dasarnya lebih menyetujui lelaki sebagai pemimpin, lebih daripada menyetujui wanita sebagai pemimpin,” katanya.
Beliau berkata, dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam parti, wanita perlu terlebih dahulu menjadi ‘lebih baik untuk diterima dengan baik’.
Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, wanita dan lelaki sepatutnya perlu saling melengkapi dalam proses membuat keputusan dalam menerajui parti dengan mengambil kira idea kedua-dua pemimpin baik wanita atau lelaki dan bukannya bersaing sesama sendiri.
Katanya, sebagai ahli politik, wanita juga hanya akan dilihat sebagai pihak yang menurut “perintah” dan mengikuti apa sahaja arahan dilakukan pemimpin lelaki.
“Dalam pemilihan pun wanita ikut saja apa yang ketua cabang cakap. Wanita tak fikir pun siapa yang dia nak pilih jadi calon naib presiden contohnya, ketua cabang kata ikut cai, ikut je cai sebab ketua cabang lelaki. Betul tak?,” katanya sambil berharap tanggapan sebegitu perlu diubah dan wanita perlu diangkat untuk sama-sama menjadi peneraju parti.