
Tampil menjelaskan perkara itu, Syukri berkata, perwakilan tidak dibenarkan masuk berikutan mereka tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan dan menghantar laporan kepada parti.
Katanya, daripada 222 bahagian Pemuda seluruh negara, hanya 75 bahagian sahaja yang membuat mesyuarat agung secara sempurna.
“Ini tanggungjawab wajib setiap cabang dan selepas tu kena hantar laporan kepada parti. Laporan tu mesti cukup tandatangan dan mesyuarat mesti cukup korum,” katanya ketika ditemui dalam Kongres Tahunan Pemuda di Shah Alam.
Katanya, kebanyakan perwakilan yang hadir hanya memenuhi syarat kedua.
Sebelum itu, Syukri diminta mengulas kekecohan berlaku di luar dewan kongres Pemuda, susulan ada perwakilan dan pemerhati tidak dibenarkan masuk mengikuti kongres sayap itu.
“Kita dah senaraikan 75 bahagian yang boleh hadir di laman sesawang dari awal. Sebenarnya dah ada perincian, nama mereka dari bahagian mana semua ada dekat laman sesawang. Mereka boleh semak sebelum datang sini,” katanya.
Syukri berkata, Pemuda PKR turut mengehadkan kapasiti dewan yang hanya boleh memuatkan hanya 400 perwakilan, berbanding 675 yang layak hadir.
Perwakilan kecewa
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Bahagian Klang, Mohamad Shahrul Adnan kecewa dengan tindakan Pemuda PKR yang menafikan haknya sebagai perwakilan.
Katanya, antara alasan larangan menghadiri mesyuarat itu ialah kerana bahagian tidak mengadakan mesyuarat agung dan tidak menghantar laporan tahunan.
Katanya, di bahagian Klang pihak yang tidak melakukan mesyuarat ialah kepimpinan lama sayap Pemuda PKR dan pihaknya sebagai barisan kepimpinan baharu menjadi mangsa penafian hak.
“Yang pelik, kami Pemuda PKR bahagian nak jadi perwakilan kongres Pemuda PKR dan mengundi ahli majlis pimpinan Pemuda PKR pusat tak boleh, tapi kami boleh mengundi untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat esok, sebabnya peraturan sayap Pemuda dan perlembagaan pusat lain,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mendakwa, Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap Pemuda PKR 2014 sendiri telah bercanggah dengan perlembagaan parti, di mana menurut Fasal 17.2C menyatakan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian dan tiga naib ketua bahagian, ketua Pemuda, ketua Wanita dan lima wakil yang dipilih sebagai perwakilan.
“Fasal 17.2 telah menjamin hak semua pimpinan teratas di peringkat bahagian (G7) yang menang pemilihan parti untuk menjadi perwakilan tanpa syarat wajib perlu diadakan Mesyuarat Agung Bahagian pada tahun sebelumnya oleh pimpinan lepas.
“Jadi, saya mendesak pihak penganjur membenarkan semua pimpinan baharu pemuda PKR bahagian yang sah dan menang pada pemilihan 2022 menjadi perwakilan dan seterusnya mengundi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat Pemuda PKR,” katanya.