‘Saya tak ajar merempit’, Stopa perjelas ceramah di sekolah

‘Saya tak ajar merempit’, Stopa perjelas ceramah di sekolah

Haqiem Stopa menjawab kebimbangan ibu bapa yang risau kehadirannya ke sebuah sekolah baru-baru ini akan memberi pengaruh buruk kepada pelajar.

Haqiem Stopa menerima kecaman selepas muncul dalam majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Haqiem Stopa yang sebelum ini dikaitkan dengan imej “mat rempit”, menegaskan beliau tidak mempelawa pelajar mengikut jejak langkah kehidupan lampaunya apabila menerima undangan memberi ceramah di sebuah sekolah menengah baru-baru ini.

Haqiem, 22, menjelaskan ceramahnya kepada pelajar SMK Sungai Besi tempoh hari bukan mengajak mereka menjadi “mat rempit” tetapi berkongsi rasa sesal terhadap kehidupannya sebelum ini dan tekadnya membina penghidupan baharu.

“Ia hanya perkongsian daripada seorang yang kena buli siber sangat teruk dan pengalaman seorang pernah gagal dan dahagakan peluang kedua,” katanya kepada FMT.

Di ceramah itu, katanya, beliau ditanya pelajar apa pesanannya untuk mereka yang tetap terpesona dengan gaya hidup “mat rempit”.

“Saya kata pada mereka, andai boleh ditukar (masa), saya nak (kembali ke zaman) sekolah. Saya tak nak kehidupan macam sekarang sebab saya sakit sangat,” katanya, tanpa menghurai lanjut.

Bulan lalu, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di kritik hebat di media sosial selepas mengangkat Haqiem sebagai ikon permotoran anak muda.

Tindakan beliau mencetuskan kemarahan warganet. Ramai merujuk kepada imej Haqiem sebagai “mat rempit” sebelum ini dan mempersoalkan kewajaran Wan Ahmad Fayhsal mengisytiharkan remaja itu sebagai ikon pemuda.

Haqiem amat popular di media sosial, dengan 800,000 pengikut di TikTok. Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini menguruskan perniagaan mencetak baju jenama Stopa dan usahasama dengan bengkel dan syarikat hiburan.

Bagaimanapun, kemalangan dua tahun lalu memberi kesan sehingga hari ini.

“Kaki saya dah tak berfungsi dengan baik…Insya-Allah saya cuba untuk sembuhkannya tapi perlukan kos tinggi dan masa untuk sembuh agak lama,” katanya, yang sudah menerima “silver button” selepas mendapat 100,000 pengikut di YouTube.

Haqiem sedar masyarakat masih mencurigai dirinya. Pesannya kepada pelajar tempoh hari, harta dunia dan populariti tidak mampu membeli rasa hormat orang ramai.

“Awak nak tak (jadi macam saya)? Kaki patah, popular, tapi kena kecam walaupun ada duit,” katanya.

Sedar tak layak jadi ‘ikon’

Menjawab kritikan warganet selepas Wan Ahmad Fayhsal memujinya sebagai “ikon permotoran negara”, Haqiem menjelaskan dia sedar siapa dirinya dan tidak minta dipuji sebegitu rupa.

Malah, beliau tidak pun memakai dan menjaja gelaran itu.

“Memang ikon permotoran selayaknya adalah orang berbakti kepada negara bukanlah saya,” katanya. Beliau menganggap sambil menjelaskan Wan Ahmad Fayhsal sekadar berseloroh menggelarnya ikon.

“Orang lain terlalu mengambil serius. Dekat Facebook semua orang ambil serius. (Orang tanya) kenapa dia? Kenapa dia? Sedangkan kita pun memang tak layak.

Tanpa gelaran ikon pun, Haqiem berkata dia tetap bekerja seperti biasa.

“Benda itu sekadar bualan saja. Kita pun tak boleh buat apa. Orang ulang-ulang ‘ikon permotoran, ikon permotoran’ tak habis-habis,” katanya.

Haqiem berkata, dia diundang ke pejabat Wan Ahmad Fayhsal untuk berkongsi perihal pengikutnya yang ramai dan apa yang boleh dibuat untuk beri impak positif kepada mereka.

“Yang Berhormat ingin berkenalan dengan saya…siapakah saya? Bagaimana saya boleh ada pengikut ramai? Apa yang saya buat dengan pengikut ramai? Saya hanya nak ubah persepsi masyarakat kepada kita (remaja sepertinya) supaya kita diberi peluang.

Haqiem menyeru masyarakat jangan putus asa apabila berdepan dengan remaja sepertinya.

“Kita pun ada masa depan. Ada saja ‘mat rempit’ yang berjaya, cuma orang tak tahu. Macam pemilik ESR Motor. Dia memang juara kat Malaysia, boleh pakai (kereta) Lamborghini. Semua dia mampu pakai dan perniagaan dia amat berjaya,” katanya.

Tolak cabaran berlumba

Anak bongsu daripada 12 beradik ini berkata gelaran “ikon” daripada Wan Ahmad Fayhsal menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jaguh yang mengharumkan nama negara dalam dunia permotoran terhadap dirinya.

Terdahulu, pemenang Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Affendi Rosli mengajak Haqiem berentap di litar, namun ditolak secara baik.

“Yang ajak beradu berlumba memang saya tak terima sebab (pertama), masalah kesihatan. Kedua, itu bukan bidang saya. Dia pelumba negara, saya sekadar minat (motor) dan saya berniaga.

“Kalau saya pergi berlumba dah tentu saya kalah. Tapi kalau kita tukar, dia tak semestinya boleh berniaga. Kita dah jawab yang kita tak layak pun untuk berlumba dengan mereka, dan tak ada keuntungan apa-apa pun untuk kita berlumba,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.