Pinda perlembagaan Umno: Jangan salah guna kuasa, Jamal ingatkan JPPM

Pinda perlembagaan Umno: Jangan salah guna kuasa, Jamal ingatkan JPPM

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata, JPPM mungkin mempunyai agenda tidak baik terhadap Umno, jika ia sengaja melengah-lengahkan atau menafikan keputusan ahli parti.

Jamal Md Yunos berkata, JPPM tiada hak untuk campur tangan dalam urusan sesebuah parti, sekiranya semua ahlinya bersetuju dengan sesuatu pindaan yang tidak bertentangan perlembagaan parti.
PETALING JAYA:
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) diingatkan tidak menyalahgunakan kuasa berhubung pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos berkata, JPPM sepatutnya meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti segera, seperti yang dimuktamadkan dalam perhimpunan agung Umno (PAU).

Katanya, JPPM perlu bertindak secara profesional dan berpegang kepada prinsip bidang tugas mereka, iaitu hanya menjadi pemantau perjalanan pertubuhan seperti termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966.

“JPPM tiada hak untuk campur tangan dalam urusan sesebuah parti, sekiranya semua ahli parti itu sudah bersetuju dengan sesuatu pindaan dan pindaan tersebut juga tidak bertentangan perlembagaan parti.

“Jika JPPM sengaja melengah-lengahkan keputusan pindaan atau menafikan keputusan yang dibuat oleh ahli parti, ini bermakna JPPM mengamalkan ‘double standard’ dan berkemungkinan mempunyai agenda tidak baik terhadap Umno,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, JPPM belum mengeluarkan surat status kelulusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti.

Walaupun JPPM terletak di bawah selian kementeriannya, sebagai menteri, beliau bagaimanapun tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan Umno bagi meminda perlembagaan parti kerana ia melibatkan perkara asal.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, JPPM mempunyai masa 60 hari hingga 16 Julai ini untuk meluluskan pindaan perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti itu.

Mei lalu, Umno sebulat suara meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum untuk memberi ruang kepada ahli memfokuskan gerak kerja pilihan raya.

Jamal mempersoalkan tempoh terlalu lama diambil JPPM untuk membuat keputusan, sedangkan Umno mematuhi syarat dan perlembagaan di tiga peringkat pembuat keputusan, di samping dokumen tambahan yang turut dikemukakan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan bulan lalu.

Katanya, ketua pengarah JPPM wajar diheret ke muka pengadilan, jika beliau secara jelas melanggar etika tugas dan piagam perkhidmatan jabatan itu seperti yang dinyatakan dalam Akta 355.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.