Mayat kanak-kanak ditemukan tanpa tangan, kepala disyaki dibaham buaya

Mayat kanak-kanak ditemukan tanpa tangan, kepala disyaki dibaham buaya

Mangsa berusia lapan tahun hilang kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala, ditemukan kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian Selasa lalu, mangsa dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai Kampung Batu Putih, Kinabatangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki Selasa lalu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan dipercayai dibaham buaya di sungai Kampung Batu Putih, Kinabatangan, Sabah, hari ini.

Mayat kanak-kanak berusia lapan tahun itu ditemukan pada 1.50 petang, kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan separuh badannya hilang.

“Anggota yang hilang ialah kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala berkemungkinan dibaham buaya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketiga dimulakan pada 7.40 pagi tadi.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 2.05 petang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.