Kastam gagalkan cubaan seludup dadah RM13.48 juta di KLIA

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah RM13.48 juta di KLIA

Dadah jenis ketamin seberat 245kg ditemui ketika pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan (kiri) menunjukkan alat digunakan untuk menghasilkan biskut mengandungi bahan campuran kanabis pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Cawangan Narkotik Kampung Jijan, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sejumlah 245kg ketamin dianggarkan bernilai RM13.48 juta yang cuba disorokkan bersama pelbagai jenis kacang berjaya dirampas kastam dalam pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, 4 Julai lalu.

Sebelum rampasan dibuat, sindiket terbabit mengisytiharkan barangan itu sebagai Haricot Verts (kacang hijau) yang dimuatkan dalam kotak.

Ketua Pengarah Kastam, Zazuli Johan, berkata anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam telah menyita 42 kotak mengandungi 49 bungkusan plastik berisi bahan kristal disyaki ketamin dalam pemeriksaan kira-kira 11 malam di Kompleks Kargo Udara KLIA itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkusan pelbagai jenis kacang bercampur serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

“Dagangan itu dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di Timur Tengah sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati pengimport memalsukan pengikraran semasa proses pengimportan sekali gus menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

Menurutnya, rampasan tersebut merupakan yang terbesar direkodkan setakat ini dan dadah itu disyaki untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Zazuli berkata, sejak Januari hingga kini, kastam telah menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai dadah seberat 1.03 tan metrik bernilai RM20.48 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.