
Beliau berkata, rakyat mungkin mempersoalkan kepentingan mengundi pada PRU15 jika Dewan Rakyat gagal meluluskan RUU tersebut.
“Pengundi mungkin bertanya kenapa mereka perlu keluar mengundi jika RUU itu tidak diluluskan,” katanya kepada FMT.
“Mereka (ahli Parlimen) yang mengundi menentang RUU itu atau tidak hadir membuang undi akan terpaksa menjelaskan (tindakan mereka).”
Timbul spekulasi bahawa segelintir ahli politik yang berpengaruh dan kanan membantah undang-undang itu dilaksanakan sebelum PRU15 supaya mereka boleh menarik ahli Parlimen yang baru dipilih ke pihak mereka atau melompat ke pihak yang menang dan terus berkuasa.
Satu laporan berita memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata, ahli parlimen Bersatu dan PAS mungkin cuba menangguhkan RUU itu tetapi kebanyakan ahli Parlimen Umno, Pakatan Harapan (PH), GPS dan GRS menyokong pelaksanaannya.
Sumber lain berkata, undang-undang baharu itu mendapat sokongan memberangsangkan dan boleh diluluskan mudah dengan majoriti dua pertiga, sekalipun Bersatu, PAS dan sekumpulan ahli Parlimen Umno mengundi menentangnya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, keraguan ahli Parlimen untuk meluluskan RUU itu boleh menjadi tanda mereka kurang yakin menghadapi PRU15.
“Mungkin mereka tidak berasa yakin untuk menghadapi PRU15. Jadi, mereka guna setiap peluang yang ada untuk tidak menandatangani RUU anti-lompat kerana ia mungkin mengakibatkan mereka tidak dapat menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
Santiago percaya, mereka yang berfikir untuk menyekat RUU itu sedang merancang langkah seterusnya, terpengaruh dengan tanggapan bahawa PRU15 akan menjadi persaingan yang sengit di mana tiada satu parti atau gabungan pun dapat mencapai kemenangan selesa.
Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara memberi amaran kepada mereka yang berhasrat untuk menghalang RUU itu bahawa pengundi akan “menghukum mereka seberat-beratnya”.
Beliau mengaitkan kekalahan Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru dengan tindakan lompat parti, yang membolehkan “Langkah Sheraton” terjadi, membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata, RUU anti-lompat itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat apabila sidang baharunya bermula pada 18 Julai, dan dijangka diwartakan selewat-lewatnya 2 Sept sebaik ia diluluskan oleh Parlimen.