
Charles Santiago daripada DAP berkata, pelanggaran memorandum persefahaman (MoU) itu tidak akan menimbulkan keyakinan bagi negara sumber lain yang menyediakan pekerja asing untuk Malaysia.
“(Pelanggaran itu) menunjukkan Malaysia bukan rakan kongsi yang bertanggungjawab dalam pengambilan pekerja asing,” katanya kepada FMT.
“Ini juga akan menghantar mesej yang salah kepada negara lain, seperti Kemboja, yang berminat untuk menghantar rakyat mereka bekerja di Malaysia. Kemboja sudah pun mempunyai pengalaman buruk dengan kita kerana kematian sebilangan rakyatnya di Malaysia.”
Semalam, Duta Besar Indonesia Hermono berkata, penggunaan berterusan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk memudahkan pengambilan pembantu rumah Indonesia melanggar MoU.

Katanya, MOS memintas sistem saluran tunggal yang diperkenalkan dalam MoU itu.
Indonesia kemudiannya membekukan sementara kemasukan pekerjanya ke Malaysia.
Santiago juga berkata, penggunaan berterusan MOS, yang dibantah Indonesia, menunjukkan bahawa Malaysia sekadar berpura-pura dalam komitmennya untuk memerangi masalah itu.
“(Ini) sangat memalukan, memandangkan mereka (Putrajaya) mahu memerangi amalan buruh paksa. Jelas ini tidak berjaya, memandangkan kita sendiri secara tidak langsung menganjurkannya (dengan menggunakan MOS).”
Ahli Parlimen Klang itu turut mengkritik Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dengan berkata, “keangkuhan” mereka menjadi punca MoU dilanggar. Beliau menggesa Jabatan Perdana Menteri agar mengambil alih pengambilan pekerja asing dengan menubuhkan sebuah agensi bawahnya.

“Atau mereka boleh menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing berdiri sendiri yang boleh memintas semua perkara karut yang kita hadapi sekarang,” katanya.
Irene Xavier daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS) mengecam Putrajaya kerana tidak mengambil serius peranannya sebagai rakan kongsi dalam MoU itu.
“Apabila orang Indonesia berkata mereka bantah MOS, Malaysia harus mendengar (bantahan itu),” katanya kepada FMT.
“Ambil serius warga Indonesia kerana kita tidak mempunyai sistem (atau undang-undang) untuk melindungi pekerja asing di negara ini.”
Xavier juga berkata, Hermono telah menjelaskan semasa mesyuarat pihak berkepentingan pada 16 Jun, iaitu Hari Pekerja Domestik Sedunia, bahawa republik itu tidak akan menghantar pekerjanya ke Malaysia jika kita gagal mematuhi syarat-syarat yang digariskan dalam MoU.

Ini termasuk waktu bekerja, bilangan pembantu rumah yang bekerja mengikut isi rumah, hari cuti, gaji minimum dan bilangan tugas yang dilakukan oleh pembantu rumah.
Sementara itu, aktivis hak pekerja asing, Adrian Pereira daripada North-South Initiative berkata, kegagalan itu menunjukkan betapa perlunya negara-negara bersifat telus dalam merangka MoU dan bekerjasama dengan masyarakat awam.
Katanya, apabila perjanjian sedemikian dirangka secara rahsia, sukar bagi masyarakat awam untuk memantau pelaksanaannya.