Tiada keperluan buka semula PPV mega, kata pakar

Tiada keperluan buka semula PPV mega, kata pakar

Pakar kesihatan berpendapat, pembukaan semula PPV mega bagi pemberian dos penggalak membabitkan kos tinggi dan akan lebih mendedahkan orang ramai kepada jangkitan Covid-19.

Presiden MMA Koh Kar Chai berkata, kerajaan tidak perlu membuka semula PPV mega sedangkan masih ramai GP swasta yang beroperasi pada kapasiti rendah masih terlibat.
PETALING JAYA:
Pakar kesihatan berpendapat pusat pemberian vaksin (PPV) berskala besar tidak perlu dibuka semula walaupun kes harian Covid-19 melonjak, termasuk dengan kemunculan varian baharu, Omicron BA.5, yang lebih mudah menjangkiti.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Koh Kar Chai berkata, kerajaan tidak perlu membuka semula PPV mega sedangkan masih ramai pengamal perubatan am (GP) swasta yang beroperasi pada kapasiti rendah masih terlibat.

“Jadi, mereka masih mampu mengendalikan peningkatan bilangan kes Covid-19,” katanya kepada FMT.

Koh berkata, masyarakat sememangnya menyedari ancaman Covid-19 serta kepentingan pengambilan dos penggalak.

“Kita telah mencapai liputan pengambilan dos penggalak pertama yang hampir lengkap, khususnya dalam kalangan orang dewasa. Cuma, setakat ini ramai yang teragak-agak untuk mengambil dos penggalak kedua,” katanya.

Sementara itu, penyelidik sistem kesihatan dan kesihatan awam Monash University Malaysia, Mark Cheong berkata, tiada keperluan membuka semula PPV bagi pemberian dos penggalak kerana langkah ini membabitkan kos tinggi dan menyebabkan orang ramai berkumpul.

“Jika buka semula PPV mega, orang awam akan lebih terdedah kepada risiko jangkitan,” katanya.

“Kerajaan seharusnya bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan primer komuniti agar dos penggalak mudah didapati di klinik mahupun farmasi komuniti.”

Menurutnya, kerajaan perlu memaparkan segala maklumat secara jelas dan konsisten mengenai tempat pengambilan dos penggalak, bayaran yang mungkin dikenakan serta jenis vaksin tersedia di setiap lokasi, khususnya menerusi platform jaringan sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh juta rakyat masih belum mengambil dos penggalak Covid-19 dan menasihati mereka segera berbuat demikian.

Ditanya jika terdapat perancangan kembali membuka PPV dalam skala besar, Ismail berkata, perkara itu akan ditentukan Kementerian Kesihatan (KKM), sama ada terdapat keperluan berbuat demikian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.