Akta anti-lompat parti dikuat kuasa selewat 2 Sept jika lulus

Akta anti-lompat parti dikuat kuasa selewat 2 Sept jika lulus

Bacaan pertama dan kedua rang undang-undang itu dijangka berlangsung pada 9 dan 10 Ogos.

Sebaik rang undang-undang itu diluluskan Parlimen, ia akan dipersembahkan kepada Agong pada 26 Ogos untuk mendapat perkenan dan pewartaannya dibuat antara 29 Ogos dan September depan.
PETALING JAYA:
Akta anti-lompat parti yang ditunggu-tunggu dijangka diwartakan pada 2 Sept, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam kenyataan, Wan Junaidi berkata sebaik saja rang undang-undang (RUU) itu diluluskan Parlimen, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 26 Ogos untuk mendapat perkenan dan pewartaannya akan dibuat antara 29 Ogos dan September depan.

“Rang Undang-undang ini dicadangkan akan dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat, bagaimanapun ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, RUU terbabit bersama penyata laporan Jawatankuasa Pilihan Khas akan diletak di atas meja Ahli Parlimen pada 18 Julai ini.

Katanya, sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara dicadang pada 8 Ogos manakala bacaan kali pertama RUU itu di Dewan Negara dicadang pada 9 Ogos, diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos ini.

Katanya, keputusan itu dibuat hari ini menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Perlembagaan dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.

Wan Junaidi berkata, garis masa RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) mencadangkan supaya libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan diadakan pada 25 Julai dan libat urus bersama ahli Dewan Rakyat pembangkang pada 26 Julai.

“Ada beberapa persoalan dibangkitkan segelintir ahli Jemaah Menteri menerusi mesyuarat Kabinet pada 1 Jun lalu dan ia sudah dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya.

Akta anti-lompat parti antara syarat utama ditetapkan bawah memorandum persefahaman antara Putrajaya dan Pakatan Harapan September lalu.

Ia sepatutnya dibentangkan Mac lalu tetapi tertangguh.

Ketika itu, Wan Junaidi berkata RUU berkenaan memerlukan “perbincangan lanjut” dengan pihak berkepentingan daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional untuk memastikan ia boleh mendapat sokongan mencukupi di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.